
Maverick Vinales dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Sporting Director Ducati, Davide Tardozzi, ketika berada di Motegi, Jepun, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pelumba Sepanyol itu menyertai Ducati sebagai test rider MotoGP bagi musim 2027.
Perkembangan itu hadir pada ketika masa depan Vinales dalam perlumbaan penuh MotoGP masih belum jelas selepas hubungannya dengan KTM berakhir lebih awal daripada perancangan. Vinales sendiri sebelum ini menegaskan bahawa dia masih mahu kekal dalam dunia MotoGP dan belum menganggap kariernya berakhir.
Ducati pula memang dijangka memerlukan penyusunan semula pasukan ujian mereka. Michele Pirro yang kini berusia 40 tahun telah menjadi test rider utama Ducati selama lebih sedekad dan kontraknya sebagai pelumba ujian berakhir pada penghujung 2026. Pirro memainkan peranan penting dalam pembangunan Desmosedici, termasuk menjadi pelumba pertama Ducati menguji prototaip 850cc GP27.
Namun, usia Pirro dan perubahan besar MotoGP bermula 2027 menjadikan keperluan terhadap pelumba ujian generasi baharu semakin penting. Pirro sendiri mengakui Ducati memerlukan dirinya untuk membantu memastikan projek 850cc memasuki 2027 dengan asas yang kompetitif, malah dia pernah menyatakan Dall’Igna mahu beliau meneruskan tugas ujian.
Pada masa sama, Nicolò Bulega yang turut membantu Pirro membangunkan jentera 850cc Ducati bagi 2026 telah mendapat tempat perlumbaan MotoGP bersama VR46 untuk 2027. Bulega sebelum ini memang dilantik sebagai test rider Ducati khususnya untuk membantu pembangunan Desmosedici dan persediaan menghadapi penggunaan tayar Pirelli pada 2027.
Situasi itu membuka ruang kepada Vinales. Dengan pengalaman luas membangunkan jentera Yamaha, Aprilia dan KTM, dia bukan sekadar mempunyai pengalaman perlumbaan MotoGP tetapi juga pengetahuan daripada beberapa pengeluar berbeza.
Pertemuan dengan Tardozzi di Motegi belum bermaksud Vinales sudah mendapat kontrak Ducati. Namun, ia menunjukkan namanya kini berada dalam radar ketika Ducati sedang mencari penyelesaian baharu untuk barisan test rider mereka bagi memasuki era 850cc.
