
ZXMOTO nampaknya mempunyai perancangan lebih besar dalam dunia perlumbaan motosikal apabila pengasasnya, Zhang Xue, berkongsi mengenai rancangan untuk menghasilkan jentera berkapasiti 1,000cc pada tahun 2027.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Zhang Xue ketika berada di Kuala Lumpur sempena pelancaran rasmi ZXMOTO di Malaysia.
Menurut Zhang Xue, pembangunan jentera 1,000cc tersebut merupakan antara langkah seterusnya buat ZXMOTO, dengan sasaran untuk membawa jenama itu ke pentas Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) pada tahun 2028.
Bagaimanapun, sebelum sasaran tersebut direalisasikan, ZXMOTO masih mempunyai perjalanan yang perlu dilalui.
Untuk musim 2027, ZXMOTO akan meneruskan penglibatan mereka dalam Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP), sekali gus memberikan pasukan dan jurutera lebih banyak masa untuk membangunkan teknologi, mengumpul data perlumbaan serta meningkatkan prestasi jentera sebelum melangkah ke kelas utama.
Perancangan menghasilkan model 1,000cc pada 2027 juga dilihat sebagai satu langkah penting memandangkan WorldSBK menggunakan jentera berkapasiti lebih besar dan mempunyai tahap persaingan yang sangat tinggi.
Ketika ini, ZXMOTO mendapat perhatian menerusi 820RR yang menggunakan enjin tiga silinder 819cc dengan kuasa sehingga 135hp. Model tersebut juga menjadi antara produk utama ZXMOTO dalam usaha membina reputasi mereka sebagai pengeluar motosikal berprestasi tinggi.
Namun, jentera 1,000cc yang bakal dibangunkan kelak dijangka menjadi platform yang jauh lebih penting untuk ZXMOTO sekiranya mereka benar-benar mahu merealisasikan sasaran ke WorldSBK.
Dengan 2027 bakal menjadi tahun pembangunan serta kesinambungan program WorldSSP, tahun 2028 pula berpotensi menjadi detik besar buat ZXMOTO sekiranya mereka berjaya merealisasikan hasrat untuk berada di grid WorldSBK.
Buat masa ini, spesifikasi lengkap jentera 1,000cc tersebut masih belum didedahkan, termasuk konfigurasi enjin, kuasa, pasukan dan bentuk penyertaan yang bakal digunakan.
Namun, perkongsian Zhang Xue di Kuala Lumpur ini jelas menunjukkan bahawa ZXMOTO mempunyai cita-cita yang jauh lebih besar daripada sekadar menjual motosikal di pasaran global.
Daripada WorldSSP kepada sasaran WorldSBK, perjalanan ZXMOTO untuk beberapa tahun akan datang pastinya menarik untuk diperhatikan.
