
Viper Niza Racing membawa misi besar ke Barcelona hujung minggu ini apabila pasukan serba Malaysia itu bakal beraksi dalam perlumbaan penutup musim Michelin 24H Series European Series 2026, dengan sasaran mengekalkan kedudukan tiga terbaik keseluruhan dalam kelas GT3-AM.
Jentera #65 Mercedes-AMG GT3 EVO kendalian Douglas Khoo selaku Team Principal dan pemandu utama, bersama Dominic Ang, Melvin Moh serta Aaron Lim, akan berdepan saingan 40 lagi jentera dalam perlumbaan penutup musim, 24 Hours of Barcelona, di Circuit de Barcelona-Catalunya sepanjang 4.657 kilometer.
Menjelang perlumbaan terakhir, Viper Niza Racing kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan GT3-AM dengan 116 mata.
Dua pasukan di hadapan ialah Getspeed Team JR286 dengan 130 mata dan Hofor Racing dengan 124 mata, manakala Continental Racing by Simpson Motorsport pula hanya empat mata di belakang Viper Niza Racing dengan 110 mata.
Dalam kedudukan keseluruhan GT3, Viper Niza Racing kini berada di tempat keenam dengan 76 mata.
Menurut Douglas Khoo, fokus utama pasukan di Barcelona adalah untuk mempertahankan kedudukan podium keseluruhan GT3-AM, selain cuba mencabar kedudukan lebih tinggi sekiranya peluang terbuka.
“Pasukan telah bekerja sangat keras sepanjang musim ini. Kami melalui beberapa keputusan yang baik dan beberapa perlumbaan yang mencabar untuk berada di kedudukan sekarang.
“Fokus di Barcelona adalah untuk mengukuhkan kedudukan ketiga kami, jika tidak cuba mendapatkan kedudukan lebih baik dalam keseluruhan GT3-AM,” katanya.
Barcelona juga membawa sedikit tekanan tambahan buat Viper Niza Racing selepas apa yang berlaku pada perlumbaan musim lalu.
Pada penampilan sulungnya dalam siri ini tahun lalu, Viper Niza Racing menamatkan musim di tempat keempat keseluruhan GT3-AM dan ketika itu mempunyai peluang untuk merebut kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, insiden pada perlumbaan terakhir menyaksikan upright patah dan stereng mengalami kerosakan selepas berlaku sentuhan dengan kereta lain.
Pasukan terpaksa kembali ke perlumbaan dengan defisit 90 pusingan, sekali gus menamatkan peluang mereka untuk memburu podium. Sebelum insiden tersebut, Viper Niza Racing pernah berada setinggi ketujuh keseluruhan dan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran podium.
Perlumbaan Barcelona tahun ini turut menawarkan mata berganda, menjadikan keputusan perlumbaan terakhir amat penting dalam menentukan kedudukan akhir kejuaraan.
Selepas empat pusingan, Viper Niza Racing berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding musim lalu dengan dua podium GT3-AM telah berjaya diraih.
Kempen 2026 menyaksikan Viper Niza Racing menamatkan Mugello di tempat kelapan GT3 dan keempat GT3-AM, sebelum menduduki tempat kelima GT3 dan keempat GT3-AM di Spa-Francorchamps.
Di Paul Ricard, pasukan mencatat tempat kelima GT3 dan ketiga GT3-AM, manakala keputusan terbaik setakat ini hadir di Nürburgring apabila #65 Mercedes-AMG GT3 EVO menamatkan perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan GT3 dan kedua GT3-AM.
Khoo turut mengakui perlumbaan 24 jam sentiasa penuh dengan cabaran dan kejadian yang sukar dijangka, namun pasukan yakin mampu memburu keputusan positif sekiranya semuanya berjalan lancar.
“Banyak perkara boleh berlaku dalam perlumbaan selama 24 jam. Kami mengharapkan perlumbaan yang kompetitif dan bebas daripada insiden.
“Keempat-empat pemandu sudah bersedia dengan apa yang perlu dilakukan dan kereta juga menunjukkan prestasi yang kuat serta kompetitif sepanjang musim.
“Jika kami dapat memastikan semuanya berjalan dengan baik, memang ada peluang untuk bukan sahaja menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan, tetapi mungkin lebih tinggi dalam kedudukan,” jelasnya.
Dengan kedudukan GT3-AM yang masih terbuka dan mata berganda ditawarkan di Barcelona, Viper Niza Racing kini berdepan satu perlumbaan terakhir yang bakal menentukan kedudukan akhir mereka dalam musim 2026.
24 Hours of Barcelona akan menjadi penentu sama ada pasukan serba Malaysia itu mampu mengekalkan tempat tiga teratas GT3-AM, atau melangkah lebih tinggi dalam perlumbaan penutup musim Michelin 24H Series European Series.





