Tanjong Malim Hi-Tech Park Perkukuh Ekosistem Automotif dan Industri Perak, Sasar Sehingga 15,000 Pekerjaan

TANJONG MALIM, 21 September 2026 – Tanjong Malim terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara lokasi penting bagi perkembangan industri automotif dan pembuatan di Perak menerusi pelancaran rasmi Tanjong Malim Hi-Tech Park oleh Setia Awan Land Sdn. Bhd. (Setia Awan).

Mempunyai keluasan 447 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion, pembangunan industri pertama Setia Awan ini terletak berhampiran Proton City dan dalam koridor pertumbuhan Automotive High-Tech Valley (AHTV).

Kedudukan tersebut menjadikan Tanjong Malim Hi-Tech Park relevan dengan perkembangan ekosistem automotif di kawasan berkenaan, khususnya apabila Tanjong Malim terus menerima aktiviti berkaitan Proton, rakan strategiknya Geely serta pemain industri lain.

Lebih daripada sekadar menyediakan tanah industri, pembangunan ini menggabungkan kawasan industri, komponen komersial dan kemudahan sokongan dalam satu kawasan.

Tanjong Malim berpotensi cipta sehingga 15,000 pekerjaan

Selain pembangunan fizikal, pertumbuhan industri di Tanjong Malim dijangka memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan dan keperluan komuniti setempat.

Menurut Pengarah Setia Awan, Dato’ Marcus Doh, perkembangan Proton City bersama kemasukan pelabur baharu berpotensi membawa ribuan peluang pekerjaan ke kawasan tersebut.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang dikongsikan pihak Proton, sekitar 7,000 hingga 8,000 pekerja dikaitkan dengan perkembangan di kawasan Proton City, manakala pelaburan daripada Sheentech Automotive Systems Sdn. Bhd. pula dijangka membawa kira-kira 600 peluang pekerjaan.

Setia Awan turut melihat potensi untuk meningkatkan jumlah pekerjaan kepada sekitar 10,000 hingga 15,000 dalam tempoh beberapa tahun akan datang, selari dengan pertambahan aktiviti industri di Tanjong Malim.

Perkembangan ini juga mendorong Setia Awan untuk terus mencari pelabur dan syarikat dalam rantaian bekalan, termasuk meneroka peluang membawa masuk lebih banyak syarikat dari China untuk membuka operasi di Tanjong Malim.

Lebih banyak syarikat supply chain diperlukan

Dalam konteks automotif, perkembangan Proton City dan AHTV bukan hanya memerlukan pengeluar kenderaan, tetapi turut memerlukan ekosistem pembekal yang lengkap.

Ini termasuk pengeluar komponen, syarikat teknologi, logistik, pergudangan serta pelbagai perkhidmatan industri.

Justeru, Tanjong Malim Hi-Tech Park boleh menjadi antara lokasi yang menyediakan ruang kepada syarikat-syarikat tersebut untuk berada lebih dekat dengan pusat aktiviti automotif sedia ada.

Fasa 1 taman industri ini merangkumi 104 ekar dengan lot industri bermula daripada lima ekar. Lot tersebut ditawarkan melalui pilihan pembelian dan pajakan serta disediakan dengan infrastruktur sedia digunakan.

Setakat ini, Fasa 1 telah mencatatkan 50 peratus kadar pengambilan, dengan antara pelabur yang telah disahkan termasuk Ningbo Fresh Technology Co., Ltd. dan Sheentech Automotive Systems Sdn. Bhd.

GDV RM1.4 bilion dianggap sebagai minimum

Menariknya, Setia Awan melihat angka GDV RM1.4 bilion bukan sebagai had kepada potensi pembangunan tersebut.

Dato’ Marcus berkata nilai tersebut boleh meningkat bergantung kepada bentuk pembangunan dan keperluan pelabur pada masa hadapan.

Selain pembangunan lot industri, Setia Awan turut mempertimbangkan pembangunan kemudahan yang lebih khusus mengikut keperluan syarikat yang ingin masuk ke kawasan berkenaan.

Antaranya termasuk kemungkinan pembangunan gudang bersaiz antara 100,000 hingga 200,000 kaki persegi, selain konsep pembangunan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelabur.

Pendekatan tersebut membolehkan pembangunan tidak terhad kepada penjualan tanah semata-mata, sebaliknya menyediakan ruang dan kemudahan yang boleh disesuaikan dengan operasi syarikat.

Kenapa ada Ionera dalam taman industri?

Satu lagi komponen penting ialah Ionera, kawasan komersial seluas 27 ekar yang merangkumi 168 unit komersial.

Kewujudan Ionera bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan industri. Ia direka untuk menyediakan kemudahan harian seperti makanan dan minuman, peruncitan serta perkhidmatan kepada pekerja, pelabur, pelawat dan komuniti sekitar.

Sejak pendaftaran dibuka, Ionera telah merekodkan lebih 100 pendaftaran dan tempahan.

Setia Awan turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Billion Group sebagai penyewa utama Ionera pada 17 September lalu, selain beberapa MoU dengan bakal penyewa daripada sektor perkhidmatan, makanan dan minuman serta penjagaan kesihatan yang dimeterai sempena pelancaran.

Perumahan turut menjadi keperluan

Dengan sasaran pekerjaan yang semakin meningkat, aspek perumahan dan kemudahan sokongan turut menjadi sebahagian daripada keperluan pembangunan Tanjong Malim.

Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, ketika berucap pada majlis pelancaran, menyentuh keperluan pembangunan kawasan perumahan, perniagaan, logistik, pengangkutan dan perkhidmatan bagi menyokong pertumbuhan di sekitar Tanjong Malim.

Perkara ini menjadi semakin relevan apabila lebih banyak pekerja dan syarikat dijangka memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pembangunan perumahan tersebut perlu dilihat dalam konteks pembangunan Tanjong Malim secara keseluruhan dan bukan sebagai sebahagian daripada komponen Tanjong Malim Hi-Tech Park yang diumumkan Setia Awan pada ketika ini.

Perak mahu lebih mesra pelabur

Kerajaan Negeri Perak turut menekankan usaha mempercepatkan proses kemasukan pelabur ke negeri tersebut.

Menurut wakil Exco Kerajaan Negeri Perak, insentif berkaitan cukai tanah, premium tanah dan cukai pintu adalah bergantung kepada kes serta mengambil kira faktor seperti nilai pelaburan dan jenis pekerjaan yang diwujudkan.

Insentif di peringkat Persekutuan pula berada di bawah bidang kuasa MITI dan MIDA.

Di peringkat negeri, Perak menyediakan pendekatan seperti Invest Perak, termasuk khidmat konsultasi percuma bagi membantu pelabur menghubungkan keperluan mereka dengan agensi berkaitan.

Kerajaan negeri turut mengetengahkan mekanisme Speed Lane untuk mempercepatkan proses kelulusan.

Menurut kenyataan wakil kerajaan negeri, kelulusan bagi sesetengah permohonan yang mempunyai dokumentasi lengkap boleh dicapai dalam tempoh sekitar dua minggu, bergantung kepada jenis dan kelengkapan permohonan.

Infrastruktur EV sehingga 5MW

Elemen lain yang menarik perhatian daripada sudut automotif ialah penyediaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Menerusi kerjasama dengan penyedia pengecasan EV, Tanjong Malim Hi-Tech Park dijangka menyediakan kemudahan pengecasan dengan kapasiti gabungan sehingga 5 megawatt.

Kemudahan tersebut selari dengan perubahan industri automotif yang semakin menuju ke arah elektrifikasi, selain berpotensi menyokong keperluan mobiliti bagi pekerja, syarikat dan pengunjung kawasan industri pada masa akan datang.

Tanjong Malim menuju ekosistem automotif lebih besar

Pelancaran Tanjong Malim Hi-Tech Park hadir pada ketika Tanjong Malim sedang membina ekosistem industri yang lebih luas berasaskan asas automotif sedia ada.

Proton City, Proton, kerjasama strategik bersama Geely dan koridor AHTV menjadi antara pemangkin utama kepada perkembangan tersebut.

Dalam ekosistem sebegini, kehadiran taman industri baharu boleh menyediakan ruang kepada syarikat dalam sektor automotif, pembuatan, teknologi, logistik dan rantaian bekalan untuk berkembang bersama industri sedia ada.

Pada masa sama, Ionera menyediakan lapisan sokongan komersial, manakala keperluan perumahan, pengangkutan dan perkhidmatan pula berpotensi berkembang seiring pertambahan tenaga kerja.

Dengan Fasa 1 kini mencatatkan 50 peratus kadar pengambilan, beberapa pelabur telah dikenal pasti dan sasaran pekerjaan berpotensi mencecah 10,000 hingga 15,000 dalam beberapa tahun akan datang, Tanjong Malim kini mempunyai beberapa komponen penting untuk berkembang daripada sekadar pusat automotif kepada ekosistem industri dan automotif yang lebih menyeluruh.

Bagi Setia Awan pula, Tanjong Malim Hi-Tech Park merupakan langkah pertama syarikat dalam sektor industri selepas lebih tiga dekad pengalaman dalam pembangunan kediaman dan bercampur.

Perkembangan projek ini selepas pelancaran rasmi akan menjadi antara perkara yang menarik untuk diperhatikan, khususnya dalam melihat sejauh mana Tanjong Malim mampu menarik lebih banyak syarikat dalam rantaian bekalan automotif dan industri berteknologi tinggi ke Perak.

 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives