
Morbidelli C252V kini rasmi berada di pasaran Malaysia selepas dilancarkan pada 29 Mei 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) menerusi Mforce MotoXperience 2026 bersempena Malaysia Bike Show.
Hadir sebagai sebuah motosikal cruiser, C252V menggabungkan rekaan klasik dengan teknologi moden serta dikuasakan enjin V-Twin 249 cc.
Enjin V2, 4-lejang, 8 injap, SOHC dan penyejukan cecair itu menghasilkan kuasa maksimum 19 kW pada 9,000 rpm serta tork maksimum 25 Nm pada 5,500 rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan dengan sistem pacuan tali sawat dan slipper clutch.
Dari segi kelengkapan, C252V menggunakan suspensi hadapan jenis upside-down dengan jarak gerakan 115 mm, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan prabeban.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal di hadapan dan belakang dengan ABS dwi-saluran. Model ini turut dilengkapi Traction Control System (TCS).
Untuk roda, C252V menggunakan tayar CST bersaiz 130/90-16 di hadapan dan 150/80-16 di belakang, masing-masing dipadankan dengan rim jejari.
Dengan berat siap diisi 177 kg, motosikal ini mempunyai ketinggian tempat duduk hanya 690 mm, tangki bahan api berkapasiti 15.5 liter dan jarak roda 1,575 mm.
Antara kelengkapan lain termasuk meter LCD, port pengecas USB Type-A, sistem pencahayaan LED serta sistem kunci mekanikal.
Morbidelli C252V ditawarkan pada harga RM16,988, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Bulk Black, Moss Green dan Urban Silver.



Setiap pembelian turut disertakan waranti selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu. Jika perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh dua tahun, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti tertakluk kepada terma dan syarat.
Selain itu, Morbidelli Malaysia turut menyediakan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian.

















