JETOUR T2 i-DM Rasmi Dilancarkan Di Malaysia, Harga RM162,800

JETOUR Malaysia secara rasmi melancarkan JETOUR T2 i-DM, sebuah SUV Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang menggabungkan enjin 1.5L TGDi, transmisi hibrid khusus tiga kelajuan serta sistem motor elektrik berkembar.

Menawarkan kuasa gabungan sehingga 265kW dan tork maksimum 610Nm, JETOUR T2 i-DM mampu mencapai jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200km, selain menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya melebihi 100km.

Pelancaran ini turut memperkukuhkan lagi rangkaian produk JETOUR di Malaysia, selari dengan falsafah Travel+ yang menekankan pengalaman perjalanan, kepraktisan dan kebebasan meneroka.

“Malaysia merupakan pasaran penting dalam strategi global JETOUR. Seiring perubahan gaya hidup, kami melihat peningkatan minat terhadap kenderaan yang mampu memenuhi keperluan harian sambil memberikan kebebasan untuk meneroka lebih jauh,” kata Presiden JETOUR International, Encik Ke Chuandeng.

Sistem i-DM Dengan Lima Mod Operasi

JETOUR T2 i-DM menggunakan sistem Intelligent Dual-Mode (i-DM) yang menggabungkan kuasa elektrik dan hibrid mengikut keadaan pemanduan.

Sistem ini menawarkan lima situasi operasi utama iaitu EV Drive untuk kelajuan rendah, Series Hybrid ketika trafik bandar, Dual Power Boost ketika memotong atau mendaki, Parallel Hybrid untuk pemanduan lebuh raya serta sistem regenerative braking bagi menjana semula tenaga ketika membrek dan menuruni bukit.

SUV ini dilengkapi bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.4kWh dengan perlindungan IP68 serta beberapa ciri perlindungan tambahan termasuk sarung bateri berketahanan tinggi dan sistem pemutusan kuasa voltan tinggi dengan pantas.

Ia turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3kW.

Dari segi pengecasan, pengecasan pantas DC 57kW membolehkan bateri dicas daripada 30% kepada 80% dalam masa sekitar 27 minit atau kurang.

Pengecasan AC 6.6kW pula mengambil masa sekitar tiga jam atau kurang untuk 30% hingga 100%, manakala pengecas mudah alih AC 2.2kW mengambil sekitar enam jam atau kurang.

Reka Bentuk Lasak, Kabin Sarat Teknologi

Dari segi reka bentuk, T2 i-DM mengekalkan karakter lasak yang menjadi identiti model T2, dengan kelengkapan seperti lampu hadapan Auto LED dengan JETOUR Signature Wordlight, rim aloi Trailblazer 20-inci dan tayar ganti yang dipasang pada bahagian belakang.

Bahagian belakang turut dilengkapi Electric Suction Back Door.

Memasuki ruang kabin, antara ciri utama yang ditawarkan termasuk skrin multimedia 15.6-inci dengan paparan hibrid khusus, sistem audio premium Sony dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W serta tempat duduk hadapan dengan fungsi memori, Welcome Function dan pengudaraan.

Turut ditawarkan ialah tombol gear kristal bercahaya, cermin pandang belakang Auto Dimming dan pencahayaan ambien Cosmic Multicolour.

ADAS Tahap 2 Dan Enam Beg Udara

Dari aspek keselamatan, JETOUR T2 i-DM hadir dengan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi:

  • Autonomous Emergency Braking (AEB)
  • Lane Assist Intervention (LAI)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Integrated Cruise Assist (ICA)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Intelligent High Beam (IHB)

Kelengkapan keselamatan lain termasuk struktur badan keluli berketahanan tinggi, enam beg udara SRS, Panoramic View Monitoring System serta Tyre Pressure Monitoring System.

Harga RM162,800, Waranti Sehingga 10 Tahun

JETOUR T2 i-DM ditawarkan di Malaysia pada harga RM162,800, tidak termasuk yuran pendaftaran, pemeriksaan, pemilikan HP, cukai jalan dan insurans. Harga tersebut sah untuk Semenanjung Malaysia.

Bagi 2,000 pendaftaran terawal, JETOUR menawarkan Pakej Early Bird bernilai sehingga RM3,000 dengan pilihan sama ada pengecas wallbox AC 7kW termasuk pemasangan atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000.

Kedua-dua pilihan turut disertakan kabel penyesuai V2L secara percuma, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dari segi pemilikan, JETOUR menawarkan:

  • Waranti kenderaan: 7 tahun / 150,000km
  • Waranti bateri voltan tinggi: 8 tahun / 160,000km
  • Waranti enjin: 10 tahun / 1,000,000km
  • Penyelenggaraan percuma: 5 sesi

JETOUR T2 i-DM turut disertakan program insurans dengan perlindungan pengecas wallbox AC 7kW sehingga RM5,000 serta perlindungan liabiliti peribadi pihak ketiga sehingga RM50,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

Bagi kempen pelancaran, Perlindungan Risiko Khas (Special Perils Coverage) turut ditawarkan kepada 2,000 pemilik pertama yang mendaftar atau sehingga 28 Februari 2027, mana-mana yang terdahulu.

Dengan gabungan sistem PHEV, jarak pemanduan sehingga 1,200km, kuasa 265kW serta karakter SUV yang lebih lasak, JETOUR T2 i-DM kini menjadi antara penawaran elektrifikasi terbaharu JETOUR untuk pasaran Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai JETOUR T2 i-DM dan rangkaian SUV JETOUR, layari https://jetour.com.my/.

Nota: Harga RM162,800 merupakan nett selling price dan tidak termasuk yuran pendaftaran, pemeriksaan, pemilikan HP, cukai jalan dan insurans. Harga sah untuk Semenanjung Malaysia sahaja.

Teruskan Bersama Four Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives