
TOKYO, Jepun – Honda Racing Corporation (HRC) dan Red Bull mengumumkan kerjasama baharu yang menyaksikan jenama minuman tenaga dari Austria itu kembali menjadi salah satu rakan kongsi utama pasukan kilang Honda HRC Castrol MotoGP bermula musim 2027.
Kerjasama berbilang tahun tersebut menandakan penyatuan semula dua nama besar dalam dunia permotoran yang sebelum ini telah mencatat sejarah kejayaan bersama dalam pelbagai kejuaraan.
Dengan rekod 45 kemenangan dan lebih 90 podium, HRC dan Red Bull kini menyasarkan untuk menambah pencapaian tersebut apabila MotoGP memasuki era baharu bermula 2027.
Menerusi perjanjian baharu ini, penjenamaan Red Bull akan ditampilkan dengan ketara pada jentera generasi baharu Honda HRC Castrol, ruang garaj pasukan serta pakaian rasmi pelumba.
Kerjasama itu turut memperlihatkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk terus mengejar prestasi dan kemenangan di pentas tertinggi perlumbaan motosikal dunia, selain memainkan peranan dalam membentuk masa depan Kejuaraan Dunia MotoGP.
Kembali Selepas Kejayaan Era 2015
Red Bull mula bekerjasama dengan pasukan kilang Honda HRC pada 2015. Gandingan tersebut menyaksikan kedua-dua organisasi melalui antara tempoh paling berjaya dalam sejarah moden HRC, termasuk kejayaan meraih beberapa kejuaraan dunia pelumba dan pengeluar.
Kerjasama yang diperbaharui ini dibina berasaskan sejarah tersebut, dengan kedua-dua pihak kembali bergabung membawa visi serta sasaran yang sama, baik di dalam mahupun di luar litar.
Alberto Puig, Team Manager Honda HRC Castrol, berkata penyatuan semula bersama Red Bull hadir pada waktu penting ketika MotoGP bakal memasuki era baharu dengan jentera, peraturan dan sasaran yang baharu.
“Ketika MotoGP bersedia memasuki era baharu dengan jentera, peraturan dan sasaran baharu sebagai sebuah Kejuaraan Dunia, kami kembali bekerjasama dengan Red Bull. Dalam dunia perlumbaan, terdapat hanya segelintir syarikat yang bertanding dalam begitu banyak kejuaraan seperti HRC dan Red Bull, jadi kerjasama ini sememangnya masuk akal.
“Saya tahu kedua-dua pihak tidak akan menerima apa-apa selain kemenangan, dan itulah yang perlu kami usahakan untuk menjadikan gabungan ini sekali lagi sebagai penanda aras.”
Honda HRC Castrol dijadualkan memperkenalkan livery penuh 2027 bersama jentera baharu menjelang bermulanya Kejuaraan Dunia MotoGP 2027.
Kembalinya Red Bull sebagai rakan kongsi utama pasukan kilang Honda itu sekali gus membuka lembaran baharu untuk dua organisasi yang mempunyai sejarah panjang dalam mengejar prestasi tertinggi dalam sukan permotoran dunia.
Teruskan Bersama Two Wheels..!
