BYD Sime Motors Buka Pusat 3S Terbesar di Sarawak, Mampu Servis 35 Kenderaan Sehari

BYD Sime Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan Pusat 3S baharu di Miri, Sarawak, sekali gus meningkatkan kapasiti jualan, servis dan sokongan selepas jualan kepada pelanggan di wilayah berkenaan.

Meliputi kawasan seluas 12,228 kaki persegi, kemudahan ini merupakan Pusat 3S BYD terbesar di Sarawak setakat ini. Ia dilengkapi bilik pameran berkeluasan 5,838 kaki persegi yang mampu mempamerkan lima kenderaan, selain pusat servis seluas 6,390 kaki persegi dengan enam ruang servis.

Dengan kapasiti mengendalikan sehingga 35 kenderaan sehari, pusat baharu ini menyediakan kemudahan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung bagi memenuhi keperluan pemilik kenderaan BYD di Miri dan kawasan utara Sarawak.

Bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, kemudahan tersebut turut menyediakan ruang istirahat pelanggan, kaunter bar, bilik perbincangan, ruang penyerahan kenderaan khusus serta kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Menurut Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, pembukaan pusat berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam usaha BYD Sime Motors memperluas rangkaiannya seiring peningkatan penerimaan mobiliti elektrik.

Beliau berkata, peluasan rangkaian bukan sahaja bertujuan memudahkan pelanggan mendapatkan kenderaan BYD, malah memastikan mereka mempunyai akses kepada perkhidmatan dan sokongan selepas jualan yang dapat memberikan pengalaman pemilikan lebih baik.

Pusat 3S Miri dikendalikan oleh Kah Progression Auto Sdn. Bhd. dengan sokongan 15 kakitangan bagi operasi jualan dan selepas jualan. Syarikat itu merupakan anak syarikat milik penuh Oriental Holdings Berhad, yang mempunyai pengalaman lebih 60 tahun dalam industri automotif di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bagi meraikan pembukaan pusat baharu tersebut, Kah Progression Auto turut menganjurkan jelajah interaktif di Aras Bawah, East Court (Sayap Lama), Bintang Megamall, dari 16 hingga 18 Oktober 2026, setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pembukaan ini meneruskan perkembangan rangkaian BYD Sime Motors di Malaysia Timur selepas pembukaan Pusat 3S BYD pertama di wilayah berkenaan, yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah pada Disember 2024.

Di Sarawak, BYD Sime Motors kini mempunyai tiga cawangan rasmi di Kuching, Sibu dan Miri. Kehadiran pusat baharu ini dijangka memperkukuh kapasiti perkhidmatan serta memudahkan pelanggan di bahagian utara Sarawak mendapatkan akses kepada produk dan sokongan selepas jualan BYD.

Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia, berkata pembukaan Pusat 3S Miri merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan jenama itu di Malaysia Timur.

Menurutnya, BYD mahu mendekati lebih ramai pelanggan, meningkatkan kesedaran terhadap kenderaan elektrik serta membawa teknologi kenderaan dan baterinya lebih dekat dengan komuniti tempatan menerusi kerjasama bersama rakan pengedar.

Dengan kemudahan lebih besar dan kapasiti servis yang dipertingkatkan, BYD Sime Motors meneruskan usaha memperluas rangkaiannya di Sabah dan Sarawak bagi menyokong pertumbuhan pasaran EV di Malaysia Timur.

Teruskan Bersama Four Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives