
Pelumba Trackhouse MotoGP, Ai Ogura #79, mencuri perhatian pada hari pertama Grand Prix Austria apabila menamatkan sesi Practice di kedudukan ketiga, dalam penampilan semulanya selepas pulih daripada kecederaan.
Ogura merekodkan masa terpantas 1 minit 28.568 saat pada pusingan ke-23 daripada 25 lap, selain mencatat kelajuan maksimum 315.7 km/j di Red Bull Ring.
Keputusan tersebut jauh lebih baik berbanding sesi Free Practice 1 pada sebelah pagi apabila pelumba Jepun itu hanya berada di P19 dengan catatan 1:31.255.
Lebih menarik, Ogura mengakui dirinya tidak menjangka mampu berada dalam kelompok 10 terbaik pada hari pertama perlumbaan.
“Saya rasa sangat baik. Saya tidak boleh lebih gembira daripada ini. Kami tidak menjangka dapat menamatkan hari ini dalam kelompok 10 terbaik, jadi ia adalah hari pertama yang baik,” kata Ogura.
Ogura turut meluahkan rasa lega apabila mendapati keadaan tangannya berada dalam keadaan baik selepas kembali menunggang jentera MotoGP.
Menurutnya, lokasi kecederaan tersebut tidak terlalu terjejas ketika melakukan membrek keras di Red Bull Ring, sekali gus membolehkannya menunggang tanpa terlalu memikirkan kecederaan berkenaan.
“Saya gembira melihat tangan saya OK dan saya juga OK di atas motosikal, selain mempunyai kelajuan yang baik. Saya langsung tidak memikirkan tentang kecederaan itu ketika berada di litar, jadi ia sangat bagus,” tambahnya.
Bagaimanapun, Ogura kekal realistik dan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi untuk hujung minggu ini.
“Saya masih tidak menjangkakan sesuatu yang besar daripada hujung minggu ini. Saya cuma mahu melakukan tunggangan saya sendiri. Jika ia cukup untuk kelompok 10 terbaik atau malah enam terbaik, saya akan sangat, sangat gembira kerana inilah perlumbaan saya kembali selepas kecederaan.”

Sementara itu, rakan sepasukan Raul Fernandez #25 berdepan hari yang lebih mencabar apabila hanya menduduki P29 dalam sesi Practice dengan masa 1:29.330.
Fernandez mengalami kesukaran mendapatkan cengkaman dan keyakinan ketika membrek, selain mengakui aero package baharu yang diuji pada hari pertama masih belum memberikan rasa yang diinginkannya.
Pelumba Sepanyol itu merancang untuk kembali menggunakan konfigurasi motosikal normal pada hari kedua bagi memahami masalah elektronik dan mendapatkan semula tahap keyakinan terhadap jentera.
Team Principal Trackhouse, Davide Brivio, dalam masa sama menyambut kepulangan Ogura dengan penuh positif, sambil mengakui pasukan masih mempunyai beberapa perkara untuk diperbaiki pada jentera Fernandez.
“Welcome back Ai! What a comeback. Saya rasa dia mengejutkan semua orang. Kami sangat gembira melihat dia kembali dan kembali pada tahap seperti ini. Kerja yang hebat,” kata Brivio.
Brivio bagaimanapun mengingatkan bahawa keputusan tersebut baru datang pada hari Jumaat, dengan pasukan masih perlu menganalisis data dan mencari penyelesaian untuk baki hujung minggu.
Teruskan Bersama Two Wheels..!
