
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – SAIC Motor Malaysia bakal melancarkan MG ZS pemasangan tempatan (CKD) secara rasmi menjelang akhir Oktober ini, menawarkan dua pilihan trenkuasa iaitu petrol turbo dan hibrid dengan anggaran harga bermula RM105,000.
Selepas membuat penampilan awal di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026), MG ZS serba baharu ditawarkan menerusi varian MG ZS 1.5 Turbo pada harga anggaran RM105,000 dan MG ZS Hybrid+ pada RM115,000. Harga berkenaan adalah bagi Semenanjung Malaysia dan tidak termasuk insurans.
Bersempena pelancaran tersebut, 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan sebelum 30 Oktober 2026 bakal menikmati ganjaran eksklusif bernilai RM3,000 serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
Menurut Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi, MG ZS Hybrid+ dibangunkan dengan rangkaian kuasa hibrid khusus dan Transmisi Hibrid 3-Kelajuan bagi mengoptimumkan prestasi, meningkatkan kecekapan tenaga serta memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan responsif.
Reka Bentuk Sporty Dengan Kabin Luas
MG ZS menggabungkan penampilan sporty dengan kepraktisan sebuah SUV bandar. Bahagian hadapan menampilkan lampu utama Connected Hunter Eyes dan gril hitam, manakala garis badan aerodinamik, lampu belakang LED serta rim aloi moden melengkapkan reka bentuk luarannya.
Dengan panjang 4,430 mm dan lebar 1,818 mm, MG ZS menawarkan ruang kabin yang luas untuk kegunaan harian. Ruang but berkapasiti 443 liter boleh diperluaskan sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Kelengkapan dalamannya merangkumi bumbung suria panoramik, skrin infotainmen terapung 12.3 inci dan kluster instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3 inci. Kabin turut dilengkapi kemasan premium serta tempat duduk kulit tiruan berliang.










MG ZS 1.5 Turbo Hasilkan 170 PS
Bagi varian MG ZS 1.5 Turbo, SUV ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo yang menghasilkan kuasa maksimum 170 PS (125 kW) dan tork 275 Nm.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi pembolehubah berterusan (CVT) serta sistem pacuan roda hadapan. Penggunaan bahan api purata dianggarkan pada 6.9 liter bagi setiap 100 km, dengan kapasiti tangki bahan api 55 liter.
MG ZS Hybrid+ Tawar Kuasa 215 PS dan Tork 465 Nm
Sementara itu, MG ZS Hybrid+ menggabungkan enjin petrol 1.5 liter sedutan semula jadi (NA), motor elektrik 100 kW dan bateri NCM berkapasiti 1.83 kWh.
Gabungan sistem tersebut menghasilkan kuasa maksimum keseluruhan 215 PS (158 kW) dan tork 465 Nm, dengan kuasa disalurkan menerusi Transmisi Hibrid 3-Kelajuan.
Sistem hibrid ini membolehkan pemanduan dalam mod elektrik pada kelajuan sehingga 80 km/j dalam keadaan yang sesuai, tanpa memerlukan pengecasan luaran seperti kenderaan hibrid plug-in.
MG ZS Hybrid+ mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.7 saat. Penggunaan bahan apinya dianggarkan serendah 4.7 liter bagi setiap 100 km, manakala jarak perjalanan boleh mencapai sehingga 870 km dengan tangki bahan api berkapasiti 41 liter.
Dilengkapi MG PILOT dan MG iSMART
Dari segi keselamatan, kedua-dua varian MG ZS dilengkapi sistem bantuan pemanduan MG PILOT dengan keupayaan ADAS Tahap 2.5.
Antara ciri yang disediakan ialah Intelligent Cruise Assist (ICA) dan Driver Fatigue Monitoring System (DFMS) bagi membantu pemandu ketika berada di jalan raya.
Selain itu, aplikasi telefon pintar MG iSMART membolehkan pemilik mengakses dan mengawal fungsi kenderaan dari jauh, termasuk kemudahan kunci digital.
MG ZS ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran iaitu Flare Red, Silver, Andes Grey dan York White, dipadankan dengan kemasan dalaman serba hitam.
Tempahan Kini Dibuka
Tempahan awal bagi MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+ kini dibuka menerusi laman web rasmi MG Malaysia di www.mgmalaysia.com.
Orang ramai yang ingin melihat MG ZS Hybrid+ dengan lebih dekat juga boleh berkunjung ke Nexus Bangsar South dari 19 hingga 23 Oktober 2026, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dengan dua pilihan trenkuasa, harga anggaran bermula RM105,000 serta tawaran penyelenggaraan percuma lima tahun untuk pelanggan terawal, MG ZS CKD bakal menjadi antara model yang wajar diberikan perhatian dalam segmen SUV bandar di Malaysia.
Teruskan Bersama Four Wheels..!

