
Selepas pelancaran rasmi ZXMOTO di Malaysia, MForce kini dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk membawa jentera ZXMOTO ke pentas perlumbaan tempatan dan antarabangsa, termasuk Malaysia Superbike Championship (MSBK) serta FIM Asia Road Racing Championship (ARRC).
Perkara tersebut turut menjadi antara topik yang dibincangkan bersama penganjur perlumbaan, Ron Hogg, dalam usaha melihat potensi ZXMOTO untuk bersaing dalam kejuaraan yang menggunakan litar-litar utama di rantau Asia.
Bagaimanapun, cabaran utama ketika ini adalah menentukan kelas yang paling sesuai untuk ZXMOTO 820RR.
Untuk makluman, ZXMOTO 820RR hadir dengan enjin tiga silinder berkapasiti 819cc. Kapasiti ini meletakkannya di antara kelas yang sedia ada, khususnya apabila dibandingkan dengan kategori utama seperti ASB1000 dan MSBK1000 yang menggunakan jentera berkapasiti 1,000cc, manakala kelas pertengahan seperti Supersport 600 menggunakan enjin 600cc.
Dengan kapasiti 820cc, ZXMOTO 820RR dilihat terlalu kecil untuk bersaing secara terus dalam kelas 1000cc, namun pada masa yang sama terlalu besar untuk dimasukkan ke dalam kelas 600cc.
Berdasarkan pandangan Two Wheels Media, salah satu kemungkinan yang boleh dipertimbangkan adalah meletakkan 820RR dalam kategori pertengahan dengan beberapa penyesuaian terhadap spesifikasi perlumbaan, termasuk kemungkinan mengehadkan RPM serta beberapa aspek teknikal lain bagi memastikan tahap persaingan lebih seimbang.
Namun begitu, konfigurasi enjin tiga silinder ZXMOTO 820RR menjadikan perkara ini lebih kompleks kerana karakter dan prestasi enjin tidak boleh dibandingkan secara terus berdasarkan kapasiti cc semata-mata.
Justeru, penentuan kelas mungkin memerlukan penelitian lebih mendalam daripada pihak penganjur bagi memastikan ZXMOTO 820RR dapat bersaing secara kompetitif tanpa memberikan kelebihan atau kekurangan yang tidak seimbang berbanding jentera lain.
Buat masa ini, perbincangan masih berada di peringkat awal dan belum ada pengumuman rasmi mengenai kelas atau musim yang akan menyaksikan ZXMOTO 820RR turun berlumba.
Jika perancangan ini direalisasikan, kehadiran ZXMOTO dalam MSBK dan seterusnya ARRC pastinya menarik untuk diperhatikan, lebih-lebih lagi selepas 820RR mendapat perhatian besar sejak diperkenalkan dengan harga RM39,888 di Malaysia.
Ia juga boleh menjadi langkah penting buat MForce dalam mengembangkan lagi penglibatan jenama-jenama di bawah portfolio mereka ke arena perlumbaan, bukan sahaja sebagai produk jalan raya tetapi juga sebagai jentera yang diuji dalam keadaan sebenar di litar.
