
Kemenangan Iker Lecuona dalam Race 1 Italian WorldSBK di Cremona benar benar mengejutkan ramai orang apabila pelumba Aruba.it Racing Ducati itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan hampir 6 saat di depan rakan sepasukannya, Nicolo Bulega.
Lecuona yang bermula dari pole position mengawal perlumbaan dengan cukup baik untuk meraih kemenangan keduanya dalam WorldSBK musim ini. Dia turut mencatatkan rentak yang sukar untuk disaingi sepanjang 23 lap perlumbaan.
Bulega pula pada awalnya cuba merapatkan jurang, namun selepas beberapa lap dia memilih untuk tidak terlalu memaksa dan kekal di tempat kedua.
Keputusan itu mungkin berkait rapat dengan kedudukan Bulega yang semakin hampir dengan gelaran dunia. Selepas Race 1, Bulega masih mendahului kejuaraan dengan 573 mata, jauh di depan Lecuona dengan 432 mata.
Dalam keadaan seperti ini, mengelakkan risiko kemalangan dan mengutip mata besar mungkin menjadi keutamaan Bulega berbanding memaksa mengejar kemenangan yang belum tentu perlu.
Lecuona pula mengambil peluang tersebut dengan sempurna untuk mencatat kemenangan dominan di hadapan Bulega, sekali gus membuktikan dia mempunyai kelajuan yang sangat kuat di Cremona.
