
Usaha memperluaskan kepelbagaian kewarganegaraan dalam MotoGP dilaporkan kini memasuki tahap yang lebih serius apabila pasukan Moto2 dan Moto3 dikatakan ditawarkan insentif kewangan untuk mengambil pelumba bukan dari Sepanyol.
Menurut wartawan Simon Patterson menerusi podcast The Race, beliau mendapat maklumat bahawa pasukan kini menerima signing bonus sekitar RM140,000, bagi menandatangani pelumba Moto2 atau Moto3 bukan Sepanyol.
Langkah itu dikatakan berkait dengan dominasi pelumba Sepanyol dalam laluan menuju MotoGP. Laporan semasa menyebut sembilan daripada 22 pelumba yang dijangka berada di grid MotoGP 2027 adalah dari Sepanyol, manakala enam lagi dari Itali.
Menariknya, usaha mencari lebih ramai bakat dari negara yang kurang diwakili memang sudah menjadi sebahagian daripada hala tuju rasmi Road to MotoGP. FIM telah memperkenalkan program insentif MotoJunior bagi tempoh 2026 hingga 2028 untuk menyokong pasukan yang membangunkan pelumba dari negara yang kurang diwakili.
Perkembangan ini turut meletakkan pembangunan bakat Asia dalam perhatian, khususnya selepas kejayaan program seperti Asia Talent Cup menghasilkan pelumba yang mampu menembusi pentas dunia.
