
ISKANDAR PUTERI, 26 September 2026 – GGR terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran motosikal elektrik (EV) di Johor menerusi pembukaan GGR Motor X Ajak di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri.
Cawangan berkenaan merupakan hasil kerjasama GGR bersama artis tempatan, Mohamad Hanaffi Razak atau Ajak Shiro, yang menerajui GGR Motor X Ajak sebagai Pengarah Cawangan.
Majlis perasmian yang berlangsung di No. 21, Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, YB Datuk Haji Pandak Ahmad, yang mewakili Menteri Besar Johor.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, pembukaan cawangan baharu itu menyusuli pencapaian jualan lebih 10,000 unit LION G1 dalam tempoh sembilan bulan sejak model tersebut dilancarkan.
“Dalam tempoh sembilan bulan, GGR telah berjaya menjual lebih 10,000 unit LION G1. Pencapaian ini mencerminkan penerimaan pengguna terhadap motosikal elektrik serta kepercayaan mereka kepada produk yang kami tawarkan,” katanya.
GGR kini mempunyai 19 pengedar di seluruh negara, dengan rangkaian tersebut menjadi saluran bagi orang ramai mendapatkan maklumat, melihat produk serta mendapatkan motosikal elektrik LION G1 dan aksesori eksklusif keluaran GGR Motor.
Muhammad Musaddiq berkata, pengembangan rangkaian pengedar penting bagi memastikan pengguna mempunyai akses lebih mudah kepada produk serta mendapatkan penerangan berkaitan motosikal elektrik sebelum membuat keputusan pembelian.
Pada masa sama, GGR turut menggunakan kerjasama bersama selebriti tempatan menerusi GGR Motor X Ajak, GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil sebagai antara pendekatan untuk memperkenalkan jenama berkenaan kepada khalayak yang lebih luas.
GGR menyasarkan jualan antara 20,000 hingga 30,000 unit selepas ini, selain terus memperluaskan rangkaian pengedar di seluruh negara.
Menurut Muhammad Musaddiq, GGR Motor turut menyasarkan pembukaan 50 cawangan baharu sehingga hujung tahun ini, termasuk di negeri yang masih belum mempunyai cawangan seperti Negeri Sembilan dan Sarawak.
Bagi tahun depan pula, GGR menyasarkan pembukaan antara 50 hingga 100 cawangan baharu, termasuk pengenalan lebih banyak pengedar.
“Kita lihat tempat yang masih belum ada lagi kedai EV. Kita nak sasarkan keadaan selepas jualan. Kalau kita jual motosikal sahaja tanpa ambil kira faktor selepas jualan, jualan dan pasaran EV selepas itu boleh merudum,” katanya.
Antara lokasi yang turut disasarkan GGR ialah Shah Alam, Selangor dan Langkawi, khususnya kawasan yang mempunyai aktiviti pelancongan dan berpotensi untuk penggunaan motosikal elektrik.
Muhammad Musaddiq berkata, motosikal elektrik bukan sahaja menawarkan alternatif kepada kenderaan berkuasa enjin pembakaran dalaman, malah mampu memberikan kos operasi dan penyelenggaraan yang lebih rendah.
Sementara itu, Ajak berkata penglibatannya sebagai Pengarah Cawangan GGR Motor X Ajak memberi peluang untuk beliau memperkenalkan mobiliti elektrik dengan lebih dekat kepada masyarakat Johor.
“Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperkenalkan LION G1 dengan lebih dekat kepada orang ramai, khususnya penduduk Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya.
“Kami mahu orang ramai selesa datang ke bilik pameran, melihat sendiri motosikal dan bertanya mengenai ciri serta penggunaannya. Apabila mendapat penerangan yang jelas, mereka boleh menilai kesesuaiannya dengan rutin harian,” katanya.
Beliau turut berharap GGR Motor X Ajak dapat menjadi antara lokasi rujukan masyarakat setempat dan komuniti EV di Johor untuk mendapatkan maklumat berkaitan motosikal elektrik GGR.
LION G1 Tawar Motor 3,000 Watt
Untuk pasaran Malaysia, LION G1 dilengkapi motor hab berkuasa 3,000 watt dengan tork maksimum 140Nm, digandingkan bersama bateri 72V 32Ah.
Motosikal elektrik tersebut mempunyai kelajuan maksimum sehingga 70km/j.
LION G1 ditawarkan pada harga atas jalan RM4,454 bagi Semenanjung Malaysia, manakala harga bagi Sabah dan Sarawak ialah RM5,954, termasuk cukai jalan dan insurans.
Majlis pelancaran GGR Motor X Ajak yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang turut merangkumi lawatan ke bilik pameran, sidang media, jamuan makan tengah hari, persembahan serta sesi ramah mesra bersama komuniti EV Johor.
Turut diadakan cabutan bertuah untuk pengunjung menerusi pembelian baju eksklusif GGR Motor X Ajak dan sweatshirt, dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal LION G1.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai GGR Motor X Ajak boleh menghubungi 012-304 8479 atau mengunjungi bilik pameran di No. 21, Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari, 79150 Iskandar Puteri, Johor.
Teruskan Bersama Two Wheels..!






