
Selepas sekian lama dinantikan, aksi Formula 4 bakal kembali ke Malaysia menerusi Formula Trophy Malaysia (FTM) yang akan membuka tirai musim 2026 pada Oktober ini.
FTM secara rasmi mengumumkan kemunculannya semula dengan musim 2026 dijadualkan berlangsung dari Oktober hingga Disember, melibatkan tiga pusingan yang kesemuanya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Pusingan pertama akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober, diikuti Pusingan 2 pada 6 hingga 8 November, sebelum musim ditutup menerusi Pusingan 3 pada 12 hingga 14 Disember 2026.
Kalendar Formula Trophy Malaysia 2026
- Pusingan 1: 2–4 Oktober (F1 Bahrain GP in Malaysia) – Sepang International Circuit
- Pusingan 2: 6–8 November (China GT) – Sepang International Circuit
- Pusingan 3: 12–14 Disember (Sepang 12 Hours) – Sepang International Circuit
Kemunculan semula FTM ini turut hadir ketika arena Formula 4 Asia Tenggara berdepan perubahan besar apabila Formula 4 South East Asia Championship yang diperakui FIA terpaksa dibatalkan bagi musim ini.
Menurut penganjur F4 SEA, Topspeed, keputusan tersebut dibuat susulan situasi berterusan di Timur Tengah yang menyebabkan sebahagian besar kereta perlumbaan kejuaraan berkenaan terkandas di Dubai.
Topspeed menjelaskan bahawa dalam keadaan tersebut, pembatalan kejuaraan merupakan satu-satunya pilihan yang ada, namun mereka kini akan memberi tumpuan untuk membina semula kejuaraan berkenaan bagi musim 2027.
Dalam perkembangan berasingan, Formula Trophy Malaysia kini tampil menawarkan pentas perlumbaan formula di Malaysia dengan musim 2026 yang sepenuhnya berpusat di Sepang.
Kembalinya FTM pastinya menjadi berita menarik buat peminat sukan permotoran tempatan, khususnya mereka yang mahu melihat semula aksi jentera Formula 4 di litar kebangsaan.
Selain menjadi medan persaingan, siri Formula 4 turut memainkan peranan penting dalam pembangunan pelumba muda yang mahu membina pengalaman sebelum melangkah ke kategori perlumbaan formula yang lebih tinggi.
Dengan hanya beberapa minggu sebelum perlumbaan pembukaan, perhatian kini pastinya akan terarah kepada pengumuman seterusnya berkaitan pasukan, pelumba serta format perlumbaan Formula Trophy Malaysia 2026.
Satu perkara yang pasti, selepas penantian yang panjang, Formula 4 kembali ke Sepang menerusi Formula Trophy Malaysia.
