
Selepas melalui pusingan yang kurang bernasib baik sebelum ini, RS Megatech Racing Team kembali ke litar dengan misi untuk bangkit dan memberikan saingan lebih kuat pada pusingan minggu ini.
Menurut pengurus pasukan, RS Megatech akan mempertingkatkan usaha dan memberikan tekanan lebih kuat bagi memastikan pasukan mampu mendapatkan keputusan yang lebih baik berbanding pusingan sebelumnya.
Tumpuan turut diberikan kepada pelumba tuan rumah, Airel Marzuki, yang dijangka mendapat suntikan motivasi tambahan apabila perlumbaan berlangsung di Terengganu.
Dari aspek persiapan, pasukan memaklumkan bahawa jentera dan enjin sudah berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi perlumbaan. Apa yang diperlukan kini adalah memastikan segala persiapan tersebut dapat diterjemahkan kepada keputusan positif di atas litar.
Dalam masa sama, pasukan turut sudah mengenal pasti sedikit kelemahan pada bahagian fork selepas melakukan penilaian terhadap prestasi jentera pada pusingan terdahulu. Justeru, beberapa penambahbaikan akan diuji pada minggu ini bagi mendapatkan tetapan yang lebih sesuai, dengan harapan ia mampu memberikan improvement dari segi pengendalian dan keyakinan pelumba ketika berada di atas litar.
Namun begitu, pasukan tidak mahu terlalu meletakkan tekanan dan hanya berharap agar segala usaha yang dilakukan membuahkan rezeki pada hujung minggu perlumbaan.
Dengan persiapan yang lebih rapi serta kelebihan beraksi di laman sendiri, RS Megatech Racing Team berharap mampu membuka lembaran baharu dan kembali mencatat keputusan yang lebih positif di Terengganu.
Kini masa untuk bangkit.
