Nazim Azman Kembali Ke Porsche ARbox Carrera Cup Asia Di Sepang Bersama Origine Motorsport

Pelumba Malaysia, Nazim Azman, bakal kembali ke pentas Porsche ARBox Carrera Cup Asia (PACCA) apabila beliau disahkan membuat kemunculan wildcard pada hujung minggu ini di PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) bersama Origine Motorsport, menggunakan jentera bernombor #33.

Kepulangan Nazim ke PaCCA kali ini pastinya menarik perhatian, lebih-lebih lagi apabila Sepang bukanlah litar asing buat pelumba negara itu. Beliau sebelum ini telah merekodkan beberapa keputusan positif dalam perlumbaan PACCA di litar yang sama.

Nazim membuat penampilan sulungnya dalam PACCA pada 2023, apabila beliau beraksi dalam kategori PRO sebagai sebahagian daripada debutnya dalam perlumbaan kereta GT secara sepenuh masa.

Pada pusingan Sepang ketika itu, Nazim mencatat keputusan tempat kelima dalam kedua-dua perlumbaan, termasuk perlumbaan malam pada Round 1, sekali gus memberikan permulaan yang cukup kukuh dalam kempen PACCA.

Konsisten Di Sepang

Pada 2024, Nazim sekali lagi menunjukkan prestasi kompetitif di Sepang apabila berjaya menaiki podium dengan tempat ketiga dalam PCCA Endurance Challenge.

Pencapaian tersebut menjadi antara keputusan terbaiknya di Sepang dan membuktikan keupayaannya untuk bersaing dalam perlumbaan endurance yang menuntut konsistensi serta pengurusan perlumbaan yang baik.

Musim 2025 pula menyaksikan Nazim kembali beraksi di Sepang bagi Rounds 5, 6 dan 7, dengan catatan keputusan P7, P6 dan P4 sepanjang hujung minggu tiga perlumbaan.

Kemuncak prestasinya hadir dalam perlumbaan terakhir apabila beliau menamatkan saingan di tempat keempat, sekali gus melengkapkan satu lagi persembahan kukuh di laman sendiri bersama rakan sepasukan ketika itu, Hugo Ellis.

Rekod tersebut menunjukkan satu corak yang menarik. Nazim bukan sahaja mempunyai pengalaman di Sepang, malah berjaya mengekalkan rentak kompetitif setiap kali kembali beraksi di litar tersebut.

Empat Pelumba Malaysia Di Sepang

Kemunculan Nazim turut menambahkan lagi perhatian terhadap saingan pelumba tempatan dalam PCCA 2026.

Beliau bakal berdepan tiga lagi pelumba Malaysia yang turut berada di grid, iaitu Naquib Azlan, Adrian D’Silva dan Douglas Khoo.

Persaingan sesama pelumba Malaysia ini tentunya menjadi salah satu perkara yang menarik untuk diperhatikan sepanjang hujung minggu PCCA di Sepang, khususnya apabila mereka beraksi di hadapan penyokong tempatan.

Bagi Nazim, pengalaman lalu di Sepang mungkin menjadi aset penting, namun kembali ke grid PCCA tetap hadir dengan cabaran tersendiri.

Dengan Origine Motorsport #33, Nazim kini mempunyai peluang untuk menambah satu lagi bab dalam rekod perlumbaannya di PACCA kali ini di hadapan penyokong sendiri.

PACCA kembali ke Sepang hujung minggu ini, dan Nazim Azman bersedia kembali ke gelanggang yang sudah tidak asing buatnya. Mampukah beliau menambah satu lagi keputusan terbaik di laman sendiri?

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives