
Yamaha secara rasmi mengumumkan penamatan pengeluaran YZF-R6 Race Base Model, sekali gus menutup tirai perjalanan hampir tiga dekad model R6 yang menjadi antara jentera supersport paling ikonik dalam dunia permotoran.
Sebelum ini, Yamaha telah pun menghentikan jualan versi jalan raya YZF-R6 di kebanyakan pasaran akibat piawaian emisi yang semakin ketat. Namun, model Race Base masih diteruskan khusus untuk kegunaan perlumbaan dan litar, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pelumba kejohanan kebangsaan, perlumbaan kelab serta peminat “track day”.
Kini, Yamaha mengesahkan bahawa pengeluaran versi perlumbaan itu juga akan ditamatkan.
Model terakhir YZF-R6 Race Base masih mengekalkan enjin 599cc empat silinder sebaris sejukan cecair yang terkenal dengan karakter putaran tinggi, selain dilengkapi teknologi seperti Traction Control System (TCS) dan Quick Shifter, serta dipadankan dengan warna ikonik Racing Blue.
Bagi memberi peluang terakhir kepada peminat memiliki jentera ini, Yamaha akan membuka tempahan khas di Jepun dalam dua fasa, iaitu dari 1 Julai hingga 31 Julai 2026, diikuti fasa kedua dari 1 Ogos hingga 31 Ogos 2026. Model ini dijadualkan diserahkan kepada pelanggan bermula Februari 2027, manakala harga rasmi masih belum diumumkan.
Penamatan pengeluaran YZF-R6 Race Base turut mencerminkan perubahan landskap industri motosikal, apabila segmen supersport 600cc semakin mengecil dan kebanyakan pengeluar kini memberi tumpuan kepada model berkapasiti lebih besar seperti Yamaha R7 dan R9.
Dengan berakhirnya pengeluaran Race Base Model, ia secara rasmi menamatkan legasi Yamaha YZF-R6 yang bermula sejak tahun 1999. Model ini akan terus dikenang sebagai antara motosikal supersport paling berjaya, sama ada di litar mahupun dalam sejarah perlumbaan dunia.










