Sifu YY Pang: Ikon Permotoran Dua Roda Malaysia dan Pengukir Legasi Tanpa Noktah

Toshi

Akar Perjuangan: Minat Yang Bertukar Menjadi Warisan

Pang Yok You, atau lebih dikenali sebagai Sifu YY Pang, adalah nama yang cukup sinonim dengan dunia perlumbaan motosikal di Malaysia. Dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan dalam suasana sederhana, minatnya terhadap motosikal bermula sejak zaman remaja lagi. Pada tahun 1970, beliau menyertai perlumbaan pertamanya menggunakan Vespa yang dimodifikasi sendiri, satu langkah kecil yang kelak mencetuskan impak besar dalam arena permotoran tanah air.

Bagi beliau, perlumbaan bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi sebuah seni, satu ilmu yang memerlukan ketelitian teknikal, disiplin mental, dan kesungguhan tanpa batas.

YY Pang Racing Sport: Simbol Inovasi dan Ketekunan

Minatnya yang mendalam terhadap aspek teknikal membawa kepada penubuhan YY Pang Racing Sport pada awal 1990-an. Syarikat ini bukan sahaja menjadi pelopor dalam pembangunan sistem ekzos berprestasi tinggi, malah berjaya menempatkan dirinya sebagai antara jenama tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Produk-produk keluaran YY Pang Racing, terutamanya ekzos untuk perlumbaan, yang digunakan secara meluas di kejuaraan domestik dan luar negara. Kejayaan syarikatnya bukan datang sekelip mata, tetapi hasil eksperimen tanpa henti, ratusan ujian di litar dan kebijaksanaan membaca kehendak pasaran.

Hari ini, jenama YY Pang telah menembusi pasaran luar seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Greece dan India, bukti bahawa nama Malaysia boleh berdiri megah di persada permotoran antarabangsa.

Pengasas, Pelumba, Guru – Tiga Dalam Satu

YY Pang bukan hanya usahawan, tetapi juga pelumba berpengalaman. Beliau pernah memenangi perlumbaan Shell Endurance 4-Hour sebanyak lima kali, bersama rakan pelumba Indran Lee, satu pencapaian yang menggambarkan kecekapan serta konsistensi beliau dalam perlumbaan berdaya tahan tinggi.

Namun sumbangan terbesar beliau mungkin bukan di atas litar semata-mata, tetapi di belakang tabir, sebagai mentor. Melalui Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, beliau telah mencungkil dan membentuk pelbagai bakat muda negara, antaranya pelumba yang kini menjadi tonggak negara dalam Cub Prix dan Kejuaraan Asia.

Disiplin, integriti dan ketegasan beliau menjadikan “Sifu YY Pang” bukan sekadar gelaran, tetapi penghormatan tulen daripada pelumba, mekanik dan peminat.

Cinta Terhadap Sukan Yang Tak Pernah Luntur

Walaupun usia kian meningkat, YY Pang tetap aktif dalam membina dan membimbing. Beliau masih dilihat turun ke litar pada hujung minggu, memerhati, memberi nasihat, dan menyemak data pelumba-pelumbanya. Setiap inci maklumat dan pengalaman dikongsi tanpa simpan – bagi beliau, kejayaan sebenar ialah melihat orang lain berjaya selepas kita.

Bagi komuniti Cub Prix, kehadiran YY Pang menjadi simbol kesinambungan dan motivasi. Beliau antara individu yang menjadikan Cub Prix lebih daripada sekadar kejohanan, tetapi satu ekosistem pembinaan karier untuk pelumba dan teknikal tempatan.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
2.3k views

Search

Archives