
Awal Kehidupan dan Cabaran
Dilahirkan pada 15 Februari 1933 di George Town, Pulau Pinang, Kuan Huah Chin atau lebih dikenali sebagai Bulldog Kuan,?membesar dalam keluarga yang serba kekurangan. Namun, kemiskinan bukan penghalang untuk mengejar impian. Sejak muda lagi, beliau sangat meminati dunia motosikal dan menyimpan impian untuk memiliki jentera sendiri. Namun, kekangan kewangan ketika itu menyebabkan hasratnya tidak kesampaian.
Demi mendekati motosikal, beliau membuat keputusan menyertai pasukan polis dengan harapan untuk menjadi anggota pengiring (outrider). Namun begitu, harapannya sekali lagi tidak kesampaian apabila majikannya lebih melihat potensinya sebagai mekanik. Kecewa dengan penugasan tersebut, Kuan meninggalkan pasukan polis dan memilih untuk menjadi mekanik sepenuh masa, pekerjaan yang kekal dengannya sehinggalah ke akhir hayat.
Permulaan Karier Perlumbaan
Minatnya yang mendalam dalam dunia dua roda akhirnya membuka jalan ke dalam dunia perlumbaan. Bermula secara aktif dalam sukan permotoran sejak awal 1960-an, Bulldog Kuan mula mencipta nama sebagai pelumba tempatan yang unggul. Dalam era perlumbaan yang serba sederhana, beliau tetap tampil cemerlang tanpa mengira kekangan teknologi atau keselamatan.
Kehebatannya menunggang di litar jalanan yang berliku dan mencabar menjadikan beliau legenda pada zamannya. Beliau digelar “Bulldog” kerana gaya tunggangan agresif serta ketahanannya menghadapi cabaran perlumbaan ketika itu.
Dominasi dan Legasi Perlumbaan
Bersama sahabat karibnya, Oh Kah Beng, Bulldog Kuan menguasai perlumbaan motosikal tempatan sepanjang tahun 1960-an hingga 1980-an. Beliau pernah beraksi dalam saingan awal MotoGP, pencapaian luar biasa bagi pelumba Malaysia ketika itu. Selain itu, beliau kerap mewakili negara dalam perlumbaan di peringkat Asia, termasuk di Singapura dan Indonesia, menjadikan namanya dikenali luas di rantau ini.
Kuan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan permotoran Malaysia. Beliau merupakan tokoh di sebalik penganjuran Penang Grand Prix 1969, salah satu perlumbaan antarabangsa yang berprestij pada masa itu. Beliau juga menjadi presiden Penang Motor Sports Club dan antara individu penting dalam penganjuran Cub Prix Malaysia, kejuaraan yang masih aktif sehingga hari ini.
Selepas Persaraan dan Warisan Keluarga
Walaupun bersara daripada dunia perlumbaan, semangatnya tidak pernah pudar. Kuan terus terlibat sebagai Clerk-of-Course (COC) dalam perlumbaan dan menguruskan kedai motosikalnya, Bulldog Kuan Motor, di Georgetown. Beliau juga menurunkan ilmu dan semangat permotoran kepada anak-anaknya, termasuk Kuan Meng Heng dan mendiang Kuan Meng Chin, yang pernah berlumba dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Pemergian Seorang Lagenda
Pada 20 Mac 2020, negara kehilangan permata besar dunia permotoran apabila Bulldog Kuan menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di York Road, George Town. Pemergiannya meninggalkan legasi yang tidak ternilai, bukan sahaja sebagai pelumba, tetapi sebagai pencetus, pemimpin, dan pencinta sukan permotoran tanah air.