
Tahun ini menjadi titik penting buat pasukan kami, Two Wheels Racing, apabila buat pertama kalinya kami menyertai Malaysian Cub Prix satu arena sukan permotoran yang cukup mencabar dan penuh persaingan.
Namun kami bukan pasukan biasa. Kami datang dari dunia media permotoran. Dahulu, tugas kami hanyalah melaporkan berita dari luar pagar, menulis berdasarkan maklumat dan bacaan. Tapi kami percaya, untuk menyampaikan cerita yang sebenar dan tepat, kami perlu turun ke litar, merasai sendiri cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh pelumba, mekanik dan seluruh kru. Maka, lahirlah Two Wheels Racing bukan sekadar satu pasukan, tetapi satu misi.
Sebagai pasukan baharu, kami tidak ada jurutera profesional. Perancangan pasukan sepenuhnya digalas oleh ketua mekanik, yang menjadi nadi utama ketika minggu perlumbaan – Sabtu dan Ahad. Segalanya digerakkan dengan semangat, pengalaman lapangan, dan kerjasama padu antara kru dan pelumba.
Cabaran paling ketara adalah dari sudut logistik dan kewangan. Kos pengangkutan jentera, alat ganti, penginapan, serta keperluan harian menjadi beban besar yang kami pikul sendiri. Setiap sen dibelanjakan dengan penuh teliti.
Lebih mencabar lagi, sesi latihan hanya 15 minit. Dalam tempoh singkat itulah kami perlu mendapatkan tetapan jentera terbaik, menyesuaikan pelumba dengan litar yang mungkin belum pernah dijejaki sebelum ini. Segala keputusan perlu dibuat pantas tanpa ruang untuk kesilapan besar.
Namun, kami tidak pernah gentar. Two Wheels Racing hadir bukan hanya untuk bertanding, tetapi untuk memahami, merasai dan menceritakan dunia sebenar sukan permotoran dari dalam. Kami mahu setiap laporan kami nanti ditulis bukan dari jauh, tetapi dari peluh dan semangat yang kami sendiri lalui.