
Voge Racing Team memulakan penampilan sulung mereka dalam kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar PETRONAS Sepang dengan penuh semangat dan komitmen. Walaupun berdepan cabaran besar kerana turun tanpa sebarang data perlumbaan, pasukan menunjukkan peningkatan ketara sepanjang sesi latihan dan kelayakan.
Pada hari pertama, pasukan kelihatan sedikit bergelut mencari rentak dalam suasana perlumbaan sebenar. Namun, berbekalkan barisan jurutera dan kru berpengalaman, mereka berjaya memperbaiki catatan masa serta merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan pendahulu.
Cuaca hujan yang melanda pada sebelah petang memaksa pasukan menukar kepada tetapan basah, sekali gus mengganggu perancangan asal dan menjejaskan usaha untuk mencatat masa yang lebih pantas.

Menurut Team Principal, Azlan Shah Kamaruzaman, pasukannya masih dalam fasa mengenal pasti kelemahan dan akan terus memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa. “Dengan sokongan padu daripada pihak kilang, saya percaya Voge Racing Team mampu mencipta kejutan dalam perlumbaan-perlumbaan akan datang,” ujar beliau.
Para pelumba pula melahirkan keyakinan terhadap potensi jentera Voge. Menurut mereka, casis dan karakter tunggangan motosikal ini memberikan rasa selesa serta kestabilan yang baik di atas litar. Namun, mereka turut menyatakan bahawa bahagian enjin perlu dipertingkatkan terutama dari segi pecutan (acceleration) untuk kekal kompetitif bersama pasukan lain.
Pelumba Voge Racing Team menamatkan sesi Qualifying (Combined) dengan berada di tempat ke P23 (Afizi Supaat), P26 (Muzakkir Mohamed) dan P27 (Afizad Supaat).
Dengan semangat juang tinggi dan sokongan teknikal yang kukuh, Voge Racing Team dilihat mampu memberi saingan sengit dalam musim Cub Prix kali ini.