
SEPANG – Kontroversi mengenai dakwaan Azlan Shah Kamaruzaman yang menyatakan beliau tidak menerima gaji semasa bersama TKKR Racing Team telah mendapat perhatian apabila Pengurus Pasukan, Dato’ Bobbie Farid Ariesham, tampil memberikan penjelasan.
Azlan sebelum ini mendakwa bahawa beliau terpaksa mengumumkan persaraan daripada dunia perlumbaan akibat berlumba tanpa gaji yang untuk bersaing di ARRC. Namun, Dato’ Bobbie menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak berasas dan tidak mencerminkan situasi sebenar ketika ditemuramah oleh pihak TW Media sempena Malaysian Cubprix Pusingan 1.
“Jika Azlan merasakan gajinya kurang atau tidak setimpal, beliau masih boleh menerimanya. Namun, untuk mengatakan bahawa gaji tidak dibayar langsung adalah tidak benar,” ujar Dato’ Bobbie.
Beliau juga menyatakan bahawa pihak pasukan sentiasa berusaha memenuhi tanggungjawab kewangan mereka dan sebarang isu sepatutnya diselesaikan secara dalaman tanpa perlu didedahkan kepada umum.
Dalam pada itu, Dato’ Bobbie menyokong keputusan Azlan untuk menerima tawaran yang lebih baik dan kembali berlumba. Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah dalam dunia sukan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Azlan dalam kariernya.
Sementara itu, Azlan telah kembali ke litar perlumbaan bersama pasukan baharu, A1 Energy BMW Racing Team, dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) musim ini. Beliau juga memegang peranan sebagai Team Principal untuk Voge Racing Team, menunjukkan komitmennya dalam membangunkan bakat-bakat muda dalam sukan permotoran negara.
Situasi ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan, dengan pelbagai pihak berharap agar kedua-dua belah pihak dapat menyelesaikan isu ini secara profesional demi kebaikan sukan permotoran Malaysia.