
Nicolo Bulega mengalami kekecewaan besar di pusingan ketiga Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Assen minggu lalu apabila terpaksa menarik diri dua kali semasa mendahului perlumbaan iaitu dalam perlumbaan Superpole dan Race 2. Punca sebenar kegagalan teknikal itu akhirnya terungkai.
Pada awalnya, ramai menyangka kegagalan itu berpunca daripada pengurangan kadar semburan bahan api sebanyak 0.5 kg/jam yang dikenakan terhadap semua jentera Ducati dan BMW mengikut peraturan Equalizer bermula di Assen. Namun, teori ini lemah memandangkan jentera Panigale V4R lain tidak mengalami masalah yang sama.
Siasatan mendapati bahawa punca sebenar adalah kerosakan pada sensor kedudukan aci engkol (Crankshaft Position Sensor) yang hanya bernilai sekitar 30 euro. Sensor ini memainkan peranan penting dalam memantau kedudukan aci engkol, omboh, dan bacaan rpm jentera. Kerosakan pada sensor tersebut menyebabkan sistem elektronik jentera gagal berfungsi dengan betul, memaksa Bulega untuk tidak menamatkan kedua-dua perlumbaan.
Akibat insiden ini, Bulega terlepas peluang mengutip 37 mata berharga, satu tamparan hebat kepada pelumba Ducati itu yang menunjukkan prestasi cemerlang sebelum insiden berlaku.
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 WorldSBK