
Pasaran motosikal berprestasi tinggi di Malaysia nampaknya bakal menerima satu lagi pilihan baharu apabila KTM 990 RC R mula diberi bayangan untuk pasaran tempatan.
ETG (Eurotech Group), selaku pengedar rasmi KTM di Malaysia bersama jenama lain seperti Husqvarna Motorcycles, GASGAS dan ZONTES, dilihat mula memberi petunjuk mengenai kehadiran model supersport terbaru KTM itu.
Malah, perkembangan terbaru daripada ETG memberi gambaran bahawa kemunculan KTM 990 RC R di Malaysia mungkin tidak lama lagi, dengan hint bahawa model berkenaan bakal diperkenalkan dalam masa terdekat.
Dengan perkembangan yang semakin hampir serta aktiviti permotoran yang semakin rancak di sekitar Sepang, tidak mustahil litar ikonik negara itu menjadi antara lokasi yang dipertimbangkan untuk memperkenalkan KTM 990 RC R kepada pasaran Malaysia.
Bagaimanapun, setakat ini tarikh serta lokasi rasmi pelancaran masih belum diumumkan oleh ETG.
KTM 990 RC R sendiri merupakan antara model paling menarik dalam keluarga supersport KTM. Jentera ini menggunakan enjin LC8c dua silinder 947 cc yang mampu menghasilkan sehingga 130 PS dan 103 Nm, selain dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi di jalan raya serta litar.
Dari segi reka bentuk pula, 990 RC R membawa identiti yang jelas berinspirasikan jentera perlumbaan KTM, lengkap dengan fairing aerodinamik dan winglet yang direka untuk membantu menghasilkan downforce pada kelajuan tinggi.
Kehadiran model ini ke Malaysia juga bakal menjadikan pilihan dalam segmen sportbike dan superbike tempatan semakin meriah.
Dengan semakin banyak pengeluar menawarkan motosikal berprestasi tinggi dalam pelbagai kapasiti enjin dan julat harga, peminat tempatan kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih jentera yang sesuai dengan kegunaan serta citarasa masing-masing.
Dan jika KTM 990 RC R benar-benar diperkenalkan dalam masa terdekat seperti yang dibayangkan ETG, persoalan seterusnya yang pasti menjadi perhatian adalah satu sahaja, berapakah harga yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia?
Mungkin tidak lama lagi kita akan dapat jawapannya, lebih-lebih lagi jika benar Sepang bakal menjadi pentas kemunculan model ini.




















