Quartararo Meletup Selepas GP Czech – Yamaha Sedang ‘Bunuh’ Karier Saya!

Toshi

Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo, menamatkan Grand Prix Czech 2025 di tempat keenam, satu keputusan yang kelihatan positif di atas kertas, namun disusuli kekecewaan besar daripada juara dunia 2021 itu. Di sebalik permulaan kukuh di sesi kelayakan iaitu tempat ketiga di belakang Marc Marquez dan Pecco Bagnaia, Quartararo jelas kecewa dengan prestasi sebenar motosikal Yamaha M1 sepanjang perlumbaan utama.

Dalam ulasannya kepada GPOne, Quartararo menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap isu utama jentera M1: kekurangan cengkaman dan masalah brek belakang. “Saya terpaksa membrek 20 meter lebih awal daripada pesaing. Masalahnya pada enjin, kami hilang daya cengkaman dan tidak dapat membrek dengan kedua-dua tayar seperti mereka,” katanya dengan jujur.

Brno yang kembali ke kalendar selepas lima tahun, dengan permukaan litar baru yang memberi kelebihan kepada Yamaha, sepatutnya menjadi peluang terbaik mereka. Malangnya, masalah konsistensi kembali menghantui pasukan, sepertimana yang berlaku di Mugello. Meskipun ada penambahbaikan dalam keadaan hujan, Yamaha masih gagal menawarkan prestasi stabil dalam perlumbaan sebenar.

Quartararo menyuarakan keraguannya terhadap tumpuan Yamaha bersama enjin V4 untuk 2026. Beliau mendesak agar pembangunan M1 2025 tidak diabaikan. “Jika Yamaha tinggalkan M1, kami akan menderita lagi,” tegasnya.

Kini di tangga kesepuluh keseluruhan, Quartararo masih mempamerkan semangat juang tinggi. Namun tanpa jentera kompetitif, impian untuk kembali ke puncak semakin kabur. Musim panas ini akan menjadi detik penentu buat Yamaha, sama ada menyelamatkan M1 atau kehilangan kepercayaan juara mereka.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives