
Walaupun belum berlumba musim ini akibat kecederaan, Jorge Martin kekal sebagai taruhan utama Aprilia untuk musim 2026. Martin merupakan juara dunia MotoGP 2024 dan pernah menjuarai kelas Moto3 pada tahun 2018. Dengan dua gelaran dunia dalam genggaman, Martin membawa reputasi besar dan pengalaman penting ke dalam pasukan.
Keupayaan jentera Aprilia semakin menyerlah tahun ini, dibuktikan oleh Marco Bezzecchi yang berjaya meraih dua podium dan satu kemenangan di Silverstone. Ini menunjukkan bahawa jentera RS-GP mampu bersaing di peringkat tertinggi, dan Martin diyakini mampu mencatat keputusan lebih hebat apabila benar-benar pulih nanti.
Walaupun hubungan Martin dan Aprilia sedikit tercalar pada ketika ini berhubung isu kontrak namun keyakinan Aprilia tidak goyah. Mereka tetap melihat Martin sebagai pelumba berpotensi besar yang boleh membawa pasukan ke arah kejuaraan.
Dengan penyertaan Martin, Aprilia dijangka lebih kompetitif musim hadapan. Pengalaman, kejuaraan, serta mentaliti juara yang dimiliki Martin menjadikan pelaburan ini satu langkah berani yang penuh harapan buat Aprilia di MotoGP.