
Gulf Oil International Limited dan Pasukan Trackhouse MotoGP Team meraikan keterlibatan peminat dengan kempen livery baharu untuk dua pusingan Asia Tenggara akan datang.
Gulf Oil dan pasukan Trackhouse MotoGP dengan bangganya mengumumkan kembalinya livery ikonik Gulf untuk dua perlumbaan terakhir di rantau Asia Tenggara dalam musim MotoGP 2025 – Grand Prix Indonesia (3–5 Oktober) dan Grand Prix Malaysia (24–26 Oktober).
Reka bentuk khas yang pertama kali diperkenalkan sempena perlumbaan pembukaan musim ini di Thailand dan Argentina telah mendapat sambutan hangat daripada komuniti MotoGP dan peminat seluruh dunia. Buat julung kalinya, warna biru-oren ikonik Gulf menghiasi keseluruhan livery MotoGP, termasuk motosikal Aprilia RS-GP25 pasukan Trackhouse, sut perlumbaan pelumba Ai Ogura dan Raul Fernandez, serta reka bentuk garaj pasukan.
Kini, Gulf bakal mempersembahkan satu lagi bab baharu dalam kerjasama ini, dengan kempen yang benar-benar memberi fokus kepada penyertaan peminat. Tiga reka bentuk livery baharu telah dihasilkan berdasarkan tema “Bolder Together”, iaitu satu ekspresi hubungan erat yang dibina atas nilai Semangat, Kemajuan, dan Kesatuan.
Peminat diberi peluang untuk mengundi reka bentuk (tekan reka bentuk untuk undi) kegemaran mereka bermula Selasa, 8 Julai (jam 12 tengah hari BST) hingga Isnin, 28 Julai (jam 9 pagi BST). Reka bentuk yang menerima undian tertinggi akan diumumkan secara rasmi semasa Grand Prix Indonesia, sebelum digunakan sekali lagi dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Menurut CEO Gulf Oil International, Mike Jones:
“Sambutan terhadap livery kami di Thailand dan Argentina amat luar biasa. Sejak awal lagi kami memang merancang untuk memperkenalkan satu lagi livery, tetapi kali ini kami mahu melibatkan peminat. Kami tidak sabar untuk melihat reka bentuk pilihan mereka nanti.”
Pengasas Trackhouse Entertainment Group, Justin Marks turut menyatakan keterujaannya:
“Pelancaran livery Gulf di Thailand merupakan detik istimewa, dan motosikal kami memang tampak menawan. Kini peminat pula berpeluang menentukan reka bentuk seterusnya – satu langkah menarik dalam kerjasama kami dengan Gulf.”
Pelumba Ai Ogura turut berkongsi semangatnya:
“Saya teruja untuk kembali membawa warna Gulf di Indonesia dan Malaysia. Livery penuh yang kami gunakan sebelum ini memang sangat cantik. Kali ini lebih istimewa kerana ia dipilih oleh peminat.”
Rakan sepasukan, Raul Fernandez menambah:
“Seperti yang saya katakan di Thailand – ‘motosikal yang cantik adalah motosikal yang laju’. Saya gembira dapat kembali membawa livery Gulf, dan pastinya ini peluang istimewa buat peminat untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Trackhouse dan Gulf.”
Kempen ini menjadi detik penting dalam kerjasama Gulf bersama Trackhouse MotoGP Team – menonjolkan komitmen kedua-dua jenama untuk menyatukan peminat seluruh dunia melalui kolaborasi kreatif dan pengalaman perlumbaan yang tidak dapat dilupakan.
One thought on “Livery Ikonik Gulf Kembali – Kali Ini Dipilih oleh Peminat MotoGP”
More line please..