
Chemnitz, Jerman – 9 Julai 2025
Selepas seminggu berehat, pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP kembali turun ke litar untuk menghadapi Pusingan ke-11 Kejuaraan Dunia MotoGP 2025 yang berlangsung hujung minggu ini di Sachsenring, Jerman. Ini adalah satu daripada dua perlumbaan berturut-turut sebelum cuti musim panas, dengan GP Czechia bakal menyusul minggu hadapan.
Dua pelumba Yamaha, Fabio Quartararo dan Álex Rins, masing-masing hadir dengan misi tersendiri – mengutip mata maksimum sebelum berehat panjang.
Fabio Quartararo: Kenangan Manis di Sachsenring
Pelumba Perancis itu kini berada di tangga ke-11 keseluruhan dan mengintai peluang untuk kembali menyerlah di litar yang sememangnya mencabar. Sachsenring, yang terkenal dengan selekoh tajam dan laluan sempit (termasuk 10 selekoh kiri dan hanya 3 selekoh kanan), pernah menyaksikan Quartararo mencipta kemenangan bergaya pada tahun 2022 dan podium ketiga pada 2021. Walaupun bukan litar yang paling digemari, “El Diablo” tetap optimis.
“Kami akan tumpukan pada perkara positif. Saya pernah menang di sini, dan kami akan beri yang terbaik seperti biasa,” katanya.
Álex Rins: Motivasi Baru Lepas Ujian di Brno
Bagi Rins pula, ini adalah kali pertama dia menunggang jentera Yamaha M1 di Sachsenring selepas tidak beraksi tahun lepas akibat kecederaan. Ujian peribadi di Brno minggu lalu memberikannya sedikit kelebihan untuk dua pusingan mendatang. Walaupun trek ini tidak banyak memberi kejayaan besar kepada Rins dalam MotoGP, dia pernah menang di sini dalam Moto3 (2013) dan naik podium dalam Moto2 (2015).
“Saya bagi sepenuh usaha semasa ujian di Brno. Kami tahu apa yang sedang menghalang prestasi kami, dan sekarang fokus utama adalah untuk terus bekerja dan cari penyelesaian,” katanya.
Cabaran Sachsenring & Fokus Yamaha
Menurut Massimo Meregalli, Pengarah Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, semua pihak dalam pasukan kekal fokus sepanjang minggu rehat. Álex melakukan ujian penting, Fabio pula teruskan latihan intensif, dan jurutera Yamaha bekerja keras menganalisis data demi penambahbaikan.
“Sachsenring memang sukar – sempit, selekoh banyak, dan susah nak memotong. Jadi kelayakan akan jadi sangat penting. Tapi kami datang dengan semangat tinggi untuk capai hasil terbaik,” ujar Meregalli.
Dengan dua pusingan penting sebelum cuti musim panas, Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP sudah bersedia untuk beraksi habis-habisan demi memperbaiki kedudukan dalam kejuaraan.
Teruskan bersama Yamaha untuk aksi panas di Sachsenring dan seterusnya di Brno!