Litar Antarabangsa Sepang sekali lagi jadi saksi kehebatan pelumba-pelumba negara dalam perlumbaan 2 Pusingan 2 Kejuaraan AEON Credit MAM Malaysia Superbike (MSBK) 2025 yang berlangsung penuh debar hujung minggu ini. Dari kategori 1000cc hinggalah ke saingan R15M, semuanya menampilkan aksi mendebarkan dari awal hingga ke garisan penamat.
Azroy Hakeem Terus Menyengat di MSBK1000 A




Azroy Hakeem Anuar dari Honda Racing Malaysia sekali lagi membuktikan kelasnya apabila menewaskan pencabar utama, Kasma Daniel (Hong Leong Yamaha Malaysia) dalam pertarungan sengit sehingga ke selekoh terakhir. Azroy menamatkan perlumbaan dengan masa 21’14.641s, hanya 0.230s di hadapan Kasma. Helmi Azman mengekalkan podium ketiga, menjadikan dua pelumba Honda di atas podium.
Law Kien Huey Bangkit di MSBK1000 B




Dalam kategori MSBK1000 B, Law Kien Huey tampil tenang namun bertenaga untuk mencuri kemenangan di selekoh terakhir daripada Kamarul Izad. Dengan kemenangan ini, Kien Huey dinobatkan sebagai Weekend Champion selepas dua perlumbaan konsisten sepanjang hujung minggu.
Khairul Idham ‘Superman’ Pawi Dominasi MSBK600



Pelumba kebangsaan, Khairul Idham Pawi kembali dengan aksi penuh bergaya dalam MSBK600. Meskipun suhu lebih panas, Khairul mengawal rentak perlumbaan dan menamatkan saingan dengan selesa di hadapan Cao Viet Nam dari Honda Racing Vietnam.
Afif Amran Sapu Bersih MSBK250 A




Afif Amran dari SUPERFAST JRT X RAPIDO terus cemerlang apabila menggondol kemenangan kedua dalam hujung minggu yang sempurna. Aksi kejar-mengejar antara beliau dan Irfan Ardiansyah sangat sengit, tetapi Afif berjaya menewaskan pencabarnya dalam detik terakhir di selekoh terakhir.
Qayyim Razin Pantas di MSBK250 B




Qayyim Razin dari Horizon Racing Team tidak memberi peluang kepada lawan apabila mendahului perlumbaan sejak dari awal dan menamatkannya dengan jurang lebih 19 saat. Beliau juga dinobatkan sebagai Weekend Champion kategori ini.
Raja Abdurraqib Menang Tipis Y16ZR Masterclass



Perlumbaan paling padat dan dramatik hadir dari kategori Yamaha Y16ZR MasterClass apabila Raja Abdurraqib berjaya mengatasi saingan sengit daripada Akid dan Jebat dalam pertempuran slipstream. Hanya 0.031s memisahkan tempat pertama dan kedua!
Alif Danial Tawan R15M Elites



Akhir sekali, dalam kategori Yamaha R15M Elites, Muhd Alif Danial dari Kavin Motor mencuri kemenangan selepas ramai pencabar utama mengalami insiden kemalangan. Strategi bijak di dua lap terakhir membuka ruang untuknya meraih kemenangan kedua dalam pusingan ini.
Kesimpulannya, perlumbaan kali ini bukan sahaja mencabar dari segi cuaca tetapi turut menguji fizikal dan mental para pelumba. Dengan perlumbaan seterusnya bakal berlangsung tidak lama lagi, pastinya peminat sukan permotoran tempatan tak sabar untuk lihat siapa pula yang bakal mengungguli podium seterusnya.
Teruskan Bersama Two Wheels!






