
Pasukan PETRONAS MIE Racing Honda akan tampil dengan barisan pelumba baharu untuk pusingan ketujuh WorldSBK di Donington Park, UK pada 11-13 Julai ini. Pelumba berpengalaman, Tito Rabat akan digandingkan bersama Ivo Lopes, menggantikan pelumba tetap pasukan, Zaqhwan Zaidi.
Zaqhwan, pelumba utama di bawah program pembangunan Boon Siew Honda, tidak akan menyertai aksi di Donington kerana perlu memberi keutamaan kepada saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) di Motegi, Jepun pada hujung minggu yang sama.
Kejohanan ARRC merupakan platform utama bagi Boon Siew Honda dan Zaqhwan untuk mengumpul mata kejuaraan, selain menjadi medan penting dalam pembentukan karier Zaqhwan sebagai pelumba profesional. Oleh itu, fokus sepenuhnya diberikan kepada ARRC demi mencapai sasaran pasukan dalam kejohanan serantau ini.
Sebagai pengganti, Lopes kembali memperkuatkan pasukan selepas beberapa penampilan musim ini, termasuk di Portimão, Magny-Cours, Cremona, Estoril dan Jerez. Walaupun ini kali pertama beliau berlumba di Donington, Lopes yakin mampu menampilkan aksi terbaik.
Sementara itu, Rabat, juara dunia Moto2 2014, bakal membuat penampilan pertamanya bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda. Walaupun belum pernah menunggang jentera Honda CBR1000RR-R, pengalaman luasnya di kejuaraan dunia menjadi aset penting untuk menghadapi cabaran Donington.