
Selepas bertahun sunyi, nama Johor Circuit kini kembali disebut. Litar lama yang pernah menganjurkan perlumbaan dunia dan menjadi kebanggaan rakyat Johor, kini disebut-sebut akan dihidupkan semula. Bukan sekadar cadangan kosong, tetapi disokong oleh usaha sebenar, termasuk minat dari kerajaan negeri dan penglibatan langsung pasukan JDT Racing Team.
Pada awal tahun 2024, ura-ura mula tersebar bahawa Johor Circuit bakal diaktifkan semula sebagai pusat latihan rasmi, khusus untuk kegunaan pelumba negara Hafizh Syahrin dan pasukan JDT Racing yang menyertai Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC). Langkah ini sekali gus memberi nafas baharu kepada sebuah litar yang pernah dianggap sudah berakhir.
Latar belakang Johor Circuit penuh warna. Dibina pada tahun 1986 dan pernah menjadi tuan rumah MotoGP pada 1998, litar ini pernah menyambut kehadiran pelumba-pelumba lagenda seperti Carl Fogarty dan Valentino Rossi. Ia juga menjadi pentas untuk World Superbike dan perlumbaan Endurance. Namun, selepas perancangan pembangunan semula bernilai RM800 juta gagal dilaksanakan pada 2016, litar ini ditutup dan dibiarkan terbiar, hanya sesekali digunakan oleh komuniti tempatan untuk track day dan aktiviti santai sehingga ianya ditutup secara total.
Kini, segalanya mungkin berubah. Menteri Besar Johor bersama Exco Sukan telah menyatakan komitmen untuk membentangkan pelan pembukaan semula Johor Circuit kepada Tunku Mahkota Johor. Hasrat ini bukan sahaja untuk menghidupkan semula trek perlumbaan, tetapi menjadikan litar ini sebagai pusat latihan rasmi bertaraf antarabangsa iaitu tempat untuk pelumba profesional berlatih, pasukan teknikal dibangunkan dan program pembangunan bakat tempatan dilaksanakan.
Lebih menarik, antara perancangan masa hadapan termasuklah mewujudkan Akademi Pemanduan serta Muzium Permotoran, satu langkah penting untuk merapatkan semula hubungan antara sejarah dan masa depan. Bagi mereka yang telah lama menyimpan kenangan tentang selekoh tajam dan deruman enjin dua-lejang di Pasir Gudang, khabar ini seolah-olah menyambung semula cerita yang tertangguh.
Siri Nostalgia Johor Circuit ini ditutup dengan harapan bahawa satu hari nanti, litar yang dibina atas semangat rakyat ini akan kembali bergema dengan sorakan, bunyi tayar dan impian anak-anak muda. Johor Circuit bukan sekadar sebuah litar lama. Ia simbol perjuangan, bukti bahawa sejarah sukan bermotor Malaysia tidak pernah mati, hanya menunggu masa untuk kembali menyala.
Teruskan bersama Two Wheels..!