Siri Nostalgia Johor Circuit : Episod 3 – Wajah Tempatan Mewarnai Litar

Toshi

Di sebalik nama besar seperti World Superbike dan MotoGP yang pernah menjejak tayar di Johor Circuit, ada satu perkara yang lebih bermakna iaitu litar ini adalah tapak pertama ramai pelumba Malaysia mencabar diri dalam dunia sebenar perlumbaan.

Bagi pelumba muda Johor, Pasir Gudang bukan sekadar trek. Ia adalah “sekolah” awal, tempat mereka belajar tentang garisan perlumbaan, titik membrek akhir, hingga memahami dinamik jentera secara praktikal. Ramai yang bermula dengan cub prix tempatan, fun race, atau latihan hujung minggu sebelum melangkah lebih jauh.

Antara nama yang sering dikaitkan dengan litar ini dan masih aktif sehingga kini ialah Zaqhwan Zaidi, Azlan Shah Kamaruzaman, dan Ramdan Rosli, pelumba yang kini dikenali dalam ARRC dan pernah mewakili negara ke kejohanan antarabangsa. Johor Circuit menjadi medan ujian awal dan tempat pertama mereka berdiri atas podium sebagai pelumba profesional.

Pelumba seperti Zulfahmi Khairuddin juga sering menjalani latihan dan sesi uji jentera di Pasir Gudang ketika awal pembabitannya, sebelum melangkah ke Red Bull Rookies Cup dan Moto3. Bagi mereka yang berada dalam paddock tempatan sekitar 2007 hingga 2012, Johor Circuit adalah antara lokasi tetap untuk program pembangunan bakat.

Lebih unik, Johor Circuit juga membuka ruang kepada pelumba amatur dan peminat, bukan semua datang dari latar belakang pasukan atau akademi. Ramai yang mula hanya dengan motosikal standard, modal sendiri, dan semangat kuat. Di sinilah mereka belajar dari pelumba senior, dari mekanik lama dan kadang-kadang dari kesilapan di selekoh tajam.

Pelumba Johor sendiri tidak kurang hebat. Dari zaman jentera RXZ dan TZM sehinggalah era superbike moden, litar ini menyaksikan bakat-bakat tempatan seperti Saiful Hazman, Hafiq Azmi dan ramai lagi menempa nama. Ramai tidak sempat terkenal di peringkat nasional, tetapi di Johor Circuit, nama mereka disebut dan dihormati.

Litar ini juga melahirkan lebih daripada pelumba, ia menghasilkan komuniti. Di sinilah marshal muda belajar disiplin perlumbaan, di sinilah mekanik kampung naik taraf jadi jurutera paddock dan di sinilah semangat “aku nak jadi pelumba” mula berputik dalam ramai remaja Johor.

Hari ini, walaupun Johor Circuit senyap dan ditinggalkan, nama-nama ini terus mewakili semangatnya. Setiap kali pelumba Malaysia beraksi di ARRC, WSBK atau Moto2, ada kemungkinan jejak pertama mereka bermula di selekoh Pasir Gudang.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives