
Sepang, 26 Jun 2025 – Aksi pembukaan pusingan kedua Toyota Gazoo Racing Festival musim ini menyaksikan Freddie Ang daripada pasukan Telagamas Toyota tampil sebagai pelumba terpantas dalam sesi latihan rasmi Kelas Super Sporting, mencatat masa 2:53.106 di Lap 6.
Sesi latihan yang berlangsung di litar sepanjang 5.543km itu membuktikan betapa kompetitifnya barisan pelumba apabila hanya kurang satu saat memisahkan 10 pelumba teratas.
Pelumba dari Prima Pearl TD Racing, Mitchell Cheah, turut memberikan saingan sengit, hanya 0.097 saat di belakang Freddie. Di tempat ketiga pula, Aman Nagdev dari Axle Sports mengekori rapat dengan beza 0.153 saat, menunjukkan tiga penjuru perebutan kedudukan teratas yang sangat sengit menjelang sesi kelayakan dan perlumbaan utama.
Sporting Class: Hii Wan Jian Tunjuk Taring
Kelas Sporting pula menyaksikan Hii Wan Jian dari Hong Huat x Armada KK Racing muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 2:53.767, diikuti rapat oleh Justin Toh dan Adam Mikail yang masing-masing mewakili BAE Racing by ES Yang dan G-Mart Motorsport. Adam Mikail kekal sebagai antara pelumba muda paling konsisten musim ini.
Rookie Class: Harkiesh Buktikan Potensi
Dalam kelas Rookie, Harkiesh Geeva dari Toyota Gazoo Racing Malaysia mempamerkan prestasi mengagumkan dengan masa terpantas 2:56.296, mendahului rakan sepasukan Rahul Dev dan Ian James Kok Jing. Empat daripada lima pelumba Rookie mencatat masa di bawah 2:59, membuktikan barisan pelapis ini tidak boleh dipandang ringan.

