
Juara dunia WorldSBK enam kali, Jonathan Rea, meluahkan rasa kecewanya apabila tidak pernah menerima sebarang tawaran untuk menyertai kejuaraan MotoGP sepanjang kemuncak prestasinya. Walaupun diiktiraf sebagai salah seorang pelumba paling berjaya dalam sejarah Superbike Dunia, Rea mengakui bahawa peluang ke MotoGP seperti tidak pernah terbuka untuknya.
Rasa kesal ini semakin ketara selepas melihat juara WSBK 2021 dan 2024, Toprak Razgatlioglu, mendapat tawaran dan kini sah menyertai grid MotoGP bersama pasukan Pramac Yamaha bermula musim depan. Bagi Rea, kejayaan Toprak yang baru dua kali bergelar juara dunia mendapat pengiktirafan MotoGP amat mengagumkan, namun dalam masa yang sama menimbulkan persoalan mengapa peluang sama tidak pernah diberikan kepadanya.
“Saya bukan iri hati, cuma pelik kenapa saya tak pernah dipertimbangkan walaupun sudah bertahun membuktikan kemampuan,” ujar Rea dalam satu temu bual. Tambahnya, dia pernah dijemput uji jentera MotoGP bersama Honda satu ketika dahulu, namun tiada susulan tawaran rasmi.
Kini pada usia 37 tahun, Rea sedar pintu ke MotoGP mungkin telah tertutup. Namun, sejarah tetap akan mencatatkan namanya sebagai antara legenda WSBK yang hebat walaupun tanpa peluang di pentas MotoGP.