Dominasi Márquez di Aragón: Ducati Sapu Bersih Podium!

MC

Pasukan Ducati Lenovo meraikan Podium 1 dan 3 sempena GP Aragon.

Foto Kredit: Ducati Media House/Ducati Corse


MotorLand Aragón menyaksikan aksi luar biasa daripada Marc Márquez yang berjaya mendominasi setiap sesi perlumbaan – satu pencapaian yang kali terakhir dicapai oleh dirinya sendiri pada tahun 2015. Pelumba Ducati Lenovo Team itu kembali ke landasan kemenangan dengan persembahan penuh yakin, sementara Francesco Bagnaia melengkapkan podium di tempat ketiga dalam perlumbaan 23 pusingan ini.

Alex Márquez pula meneruskan momentum hebat pasukan Gresini Racing dengan menduduki tempat kedua menggunakan jentera Desmosedici GP. Kejayaan ini menandakan podium sepenuhnya milik Ducati, mencerminkan kekuatan keseluruhan pengeluar motosikal Itali itu dalam musim ini.

Aksi Hebat Marc Márquez

Bermula dari petak utama, Márquez memulakan perlumbaan dengan baik dan mula memisahkan diri dari kelompok utama pertengahan perlumbaan, mencatatkan rentetan masa terpantas. Beliau menjadi pelumba pertama dalam sejarah mencatatkan masa bawah 1’47 saat dalam perlumbaan di litar Sepanyol ini.

“Dengan permulaan yang baik, saya dapat melaksanakan jenis perlumbaan yang saya mahukan. Saya berasa selesa dan mampu menekan bila perlu. Ini adalah jenis perlumbaan yang penting untuk memastikan keputusan terbaik tanpa melakukan kesilapan – lebih-lebih lagi apabila melihat Alex dan Pecco turut sangat kompetitif hari ini,” kata Márquez yang kini mengumpul 223 mata, 32 mata mendahului adiknya, Alex.

Bagnaia Kembali Ke Podium

Francesco Bagnaia yang bermula dengan peningkatan satu kedudukan juga menunjukkan peningkatan prestasi selepas beberapa perlumbaan yang mencabar. Penyesuaian kecil pada waktu pemanasan pagi terbukti berkesan, terutamanya dalam aspek membrek, sekaligus memberikannya lebih keyakinan dan kelajuan dalam perlumbaan utama.

“Podium ini sangat penting untuk semangat saya dan seluruh pasukan. Kami telah bekerja keras sepanjang tiga hujung minggu lepas, dan akhirnya semuanya menjadi,” ujar Bagnaia, yang kini berada di tangga ketiga kejuaraan, 93 mata di belakang Márquez.

Kecemerlangan Ducati

Dengan keputusan cemerlang ini, Ducati Lenovo Team terus mengungguli kedudukan pasukan dengan 373 mata, manakala Ducati kekal sebagai pendahulu dalam kategori pengeluar dengan 282 mata.

Luigi Dall’Igna, Pengurus Besar Ducati Corse, menyifatkan hari Ahad di Aragón ini sebagai antara yang terbaik pernah beliau alami.

“Saya sangat gembira untuk Marc yang menguasai litar kegemarannya, dan juga untuk Pecco yang kembali bangkit seperti seorang juara sebenar. Esok adalah ujian penting bagi kami, dan kami akan bersiap sedia untuk Mugello dan Assen – dua litar yang sangat digemari oleh Pecco,” katanya.

Pasukan Ducati Lenovo akan kembali ke trek esok untuk sesi ujian rasmi sehari di Aragón sebelum menuju ke Grand Prix kesembilan musim ini yang akan berlangsung pada 20 Jun di Litar Antarabangsa Mugello, Itali.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives