
Pasukan Trackhouse MotoGP akan kembali ke Litar Motorland Aragon sejurus selepas tamat Grand Prix pada hari Ahad ini, bagi menjalani hari kedua ujian rasmi dalam musim bersama keseluruhan barisan kelas perdana.
Dengan jumlah ujian litar yang terhad kepada hanya tiga hari sepanjang musim bagi pasukan Trackhouse, peluang ini sangat penting buat pelumba #25, Raul Fernandez. Dia akan menggunakan kesempatan ini untuk menjalankan program pembangunan trek bersama jentera Aprilia RS-GP25 miliknya. Tumpuan utama adalah pada pelarasan set-up dan meningkatkan ‘rasa’ tunggangan bersama kru teknikalnya.
Sementara itu, pelumba #79, Ai Ogura, tidak akan mengambil bahagian dalam ujian ini kerana masih dalam proses pemulihan selepas terjatuh di Silverstone yang mengakibatkan patah tulang tibia kanan. Ogura kini fokus kepada pemulihan penuh dengan sasaran untuk kembali beraksi dalam Grand Prix Itali di Mugello.
Dalam perkembangan menarik, Trackhouse Racing telah menawarkan peluang kepada pelumba muda berbakat untuk mencuba jentera RS-GP25 mereka dalam sesi ujian ini. Pilihan pasukan jatuh kepada Manuel Gonzalez, pendahulu bersama dalam kedudukan mata Kejuaraan Dunia Moto2 ketika ini.
Langkah ini selaras dengan visi Trackhouse sebagai pasukan perlumbaan muda dan progresif, yang sejak ditubuhkan pada tahun 2001, komited untuk membuka jalan buat bakat baharu mara ke puncak dunia permotoran. Sebelum ini, Trackhouse turut memainkan peranan penting dalam perkembangan karier Connor Zilisch, yang kini telah berjaya membuat penampilan sulung dalam siri NASCAR Cup bersama pasukan dalam jentera #87 Red Bull Chevrolet, di Litar Americas pada Mac 2025.
Dalam program MotoGP pula, Trackhouse telah menandatangani juara dunia Moto2, Ai Ogura (#79), untuk beraksi bersama mereka bermula musim 2025, dan setakat ini Ogura telah menunjukkan potensi luar biasa sebagai bintang masa depan.
Ujian yang akan dijalani oleh Manuel Gonzalez ini merupakan kesinambungan usaha Trackhouse dalam memberi ruang kepada pelumba muda untuk berkembang dan mencuba jentera MotoGP sebenar.
Teruskan Bersama Two Wheels..!!