
Musim MotoGP 2025 yang dijangka menjadi pertarungan tiga penjuru antara Marquez, Bagnaia dan Martin kini tampak lebih rumit daripada yang disangka. Selain isu dalaman KTM, penangguhan pengambilalihan kejuaraan oleh Liberty Media serta jendela perpindahan yang semakin panas menambah ketidakpastian. Antara spekulasi hangat yang timbul adalah kemungkinan penyertaan Gunther Steiner, bekas bos pasukan Haas F1, ke dalam dunia MotoGP menerusi pasukan Tech3.
Dalam temu bual eksklusif, Herve Poncharal, Ketua Pasukan Tech3, tampil menjelaskan situasi sebenar. Beliau mengesahkan terdapat beberapa pelabur, termasuk dari Amerika yang menunjukkan minat, namun tiada sebarang perjanjian dimeterai. “Saya dengar, saya baca, tapi banyak yang ditulis hanyalah spekulasi,” jelasnya.
Poncharal mengakui bahawa situasi Tech3 yang kini bergantung kepada KTM mewujudkan banyak tanda tanya, terutamanya dengan ketidaktentuan hala tuju pengeluar Austria itu selepas 2026. Beliau menyatakan bahawa walaupun kontraknya bersama KTM masih sah hingga akhir 2026, beliau terbuka kepada sebarang cadangan kerjasama, sama ada pelaburan minoriti, penajaan atau pengambilalihan penuh.
Berkenaan khabar angin perubahan kepada pengeluar jentera lain seperti Honda atau Ducati, Poncharal menafikan sekerasnya buat masa ini, sambil menegaskan keutamaannya kekal bersama KTM. Baginya, minat luar membuktikan nilai MotoGP sedang meningkat, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Liberty Media yang dijangka mengubah landskap kejuaraan secara besar-besaran.
Teruskan bersama Two Wheels..!