
Perpindahan Jorge Martin ke Aprilia awal musim ini mengejutkan ramai pihak, lebih-lebih lagi apabila diumumkan hanya beberapa hari selepas Ducati memilih Marc Marquez sebagai pelumba pasukan factory mereka untuk musim 2025.
Kami di TW Media melihat tindakan Martin bukan sekadar keputusan spontan, tetapi sebagai satu bentuk protes terhadap Ducati. Sebagai juara dunia bertahan, Martin mahu membawa nombor 1 ke grid MotoGP dan beliau memilih Aprilia supaya nombor itu tidak jatuh ke tangan Ducati yang menolaknya. Ini seolah-olah mesej jelas dari Martin: “Jika saya tak dihargai di Ducati, saya akan buat kamu menyesal.”
Namun, kenyataan dan realiti kini semakin berbeza. Selepas hanya satu perlumbaan (Sprint Qatar) dan satu perlumbaan penuh yang juga tidak disudahinya kerana kemalangan. Beberapa hari lepas, Martin sudah menyatakan hasrat ingin keluar dari Aprilia, merujuk kepada klausa kontrak yang membolehkannya berbuat demikian jika jentera tidak kompetitif selepas enam pusingan. Persoalannya, bagaimana mahu menilai keupayaan sebenar RS-GP jika beliau sendiri belum sempat berlumba sepenuhnya?
Lebih mengejutkan, kenyataan untuk keluar itu datang sendiri daripada Martin, seperti yang disahkan dalam di sosial media miliknya. Namun begitu, masih ada peluang beliau akan kekal bersama Aprilia kerana difahamkan perbincangan lanjut akan dibuat dalam masa terdekat.
Tindakan Martin ini kami lihat sebagai tidak matang dan tidak adil terhadap Aprilia, sebuah pasukan yang meletakkan harapan tinggi kepadanya selepas persaraan Aleix Espargaro. Martin seharusnya memberi masa dan usaha sebelum membuat keputusan drastik. Dunia MotoGP menuntut lebih daripada sekadar bakat, ia memerlukan ketahanan mental, kesetiaan kepada pasukan, dan kesediaan untuk membina sesuatu dari bawah.
Ini hanyalah pendapat peribadi kami di TW Media.