
Insiden yang berlaku pada perlumbaan BritishGP MotoGP bukan sahaja menyebabkan pengibaran bendera merah, malah turut membakar api ketegangan antara dua pelumba berpengalaman – Franco Morbidelli dan Aleix Espargaro.
Kemalangan antara mereka berdua di selekoh berkelajuan tinggi mengakibatkan tumpahan minyak di atas trek, yang seterusnya menyebabkan beberapa pelumba lain termasuk Alex Marquez dan Marquez terjatuh dan perlumbaan dihentikan buat sementara waktu. Namun, apa yang berlaku selepas itu jauh lebih panas daripada insiden di litar.
Franco Morbidelli tidak menunggu lama untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Dalam satu temu bual sejurus selepas perlumbaan, Morbidelli secara terbuka menuduh Aleix sebagai pelumba yang “selalu tidak puas hati” dengannya, dan menyatakan bahawa tindakan Aleix seolah-olah disengajakan.
“Saya tak tahu kenapa, tapi Aleix memang selalu cari salah saya. Dari dulu sampai sekarang, dia tak pernah puas hati. Lepas insiden tadi, saya rasa macam dia memang sengaja,” ujar Morbidelli.
Tuduhan itu segera mencetuskan reaksi – bukan di media rasmi, tetapi di media sosial.
Aleix Espargaro membalas dengan nada sinis dan menyindir, melalui satu komen di akaun Instagram rasmi MotoGP, yang menyiarkan video temu bual Morbidelli tersebut. Aleix menulis:
“Yaaaassss mate, I fell on purpose so that after the fall, my bike would crash into you cause I’m obsessed w you… OMG the level.”
Ya bro, saya jatuh sengaja sebab nak pastikan motor saya langgar awak lepas tu… sebab saya taksub sangat dengan awak. Ya Tuhanku, tahap pemikiran.”
Komen itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati Aleix terhadap tuduhan Morbidelli. Ia bukan sahaja menafikan dakwaan tersebut, malah menyindir bahawa dia terlalu ‘taksub’ dengan Morbidelli hingga sanggup menjatuhkan diri sendiri – satu kenyataan penuh sarkastik yang mencerminkan tahap ketegangan sebenar antara kedua-dua pelumba ini.
Walaupun MotoGP terkenal dengan persaingan sengit di atas trek, pertelingkahan terbuka seperti ini jarang berlaku secara terang-terangan di khalayak umum, terutamanya dalam platform seperti Instagram.
Peminat kini berbelah bahagi – ada yang menyokong Morbidelli dan melihat Aleix sebagai pelumba agresif yang sukar dikawal emosinya, manakala sebahagian lagi menganggap tuduhan Morbidelli tidak masuk akal, memandangkan tiada pelumba waras yang akan menjatuhkan diri sendiri dengan sengaja dalam perlumbaan berisiko tinggi seperti MotoGP.
Apa pun, insiden ini menambah satu lagi babak dalam kisah perseteruan dua pelumba ini, dan ramai menantikan sama ada ketegangan ini akan terbawa ke perlumbaan seterusnya.
MotoGP bukan sekadar perlumbaan kelajuan – ia juga medan ego, emosi dan psikologi. Dan Morbidelli-Aleix kini menjadi antara kisah panas musim ini.