
Kemunculan logo Bajaj pada jentera RC16 KTM MotoGP bukan sekadar hiasan – ia kini menjadi simbol nyata usaha penyelamatan besar-besaran oleh gergasi automotif India itu terhadap pengeluar motosikal prestasi tinggi dari Austria.
Bajaj Auto baru-baru ini mengumumkan pelaburan besar sebanyak 800 juta Euro (sekitar RM4 bilion) untuk mengambil alih pegangan majoriti dalam KTM, yang sedang bergelut akibat krisis kewangan serius sejak November 2024.
Krisis yang berpunca daripada lebihan inventori, kos operasi meningkat, dan pengembangan agresif yang tidak terkawal memaksa KTM memfailkan penstrukturan semula dan memberhentikan lebih 1,800 pekerja. KTM turut melepaskan semula pegangan dalam MV Agusta sebagai langkah jimat cermat.
Melihat potensi jenama itu, Bajaj Auto menyuntik 50 juta Euro untuk menghidupkan semula pengeluaran pada Mac 2025, dan kini bersedia menyalurkan tambahan 600 juta Euro bagi memulihkan sepenuhnya operasi KTM.
Kehadiran sticker Bajaj pada jentera MotoGP menjadi lambang solidariti dan sinergi strategik antara dua kuasa industri – satu dari Pune, India, dan satu lagi dari Mattighofen, Austria.
Dengan pelaburan ini, KTM bukan sahaja diselamatkan, tetapi juga diberi nafas baru untuk terus bersaing di pentas dunia.