
22 Mei 2025 – Silverstone
Pasukan Aprilia Racing menafikan dakwaan bahawa Jorge Martin mahu menamatkan kontraknya lebih awal, seperti yang dilaporkan oleh motorsport.com selepas GP Perancis baru-baru ini.
Menurut laporan tersebut, Martin dikatakan sedang mempertimbangkan untuk keluar menggunakan klausa prestasi dalam kontraknya, berikutan keraguan terhadap tahap kompetitif jentera Aprilia. Malah, ada khabar angin beliau sedang berunding untuk berpindah ke pasukan Honda.
Namun, Aprilia dalam kenyataan rasmi menegaskan tiada rundingan berlaku dan kontrak Martin kekal sah hingga akhir 2026.
“Kontrak bersama Jorge Martin masih berkuat kuasa dan perlu dihormati. Aprilia tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan untuk menamatkan atau meminda kontrak tersebut,” jelas kenyataan itu.
Aprilia turut mengingatkan bahawa adalah tidak sah untuk pasukan lain cuba memancing pelumba yang masih terikat kontrak.
Jorge Martin, yang baru menyertai satu pusingan musim ini akibat kecederaan, belum memberi sebarang komen. Tempatnya akan terus diisi oleh pelumba ujian, Lorenzo Savadori, di GP British hujung minggu ini.