
KEDAH, 22 Mei 2025 – Pasaran motosikal adventure touring di Malaysia kini bertambah hangat dengan kehadiran model baharu daripada CFMOTO iaitu CFMOTO 800MT-X yang secara rasmi dilancarkan di Men Huat Motors Sdn. Bhd. Ditawarkan pada harga menarik RM48,888, tidak termasuk insurans dan cukai jalan, jentera ini tampil dengan dua pilihan warna bergaya: Zephyr Blue dan Nebula Black.
Dikuasakan enjin 799cc 2-silinder sebaris DOHC dengan penyejukan cecair, ia menghasilkan kuasa maksimum 70kW pada 8,500rpm dan tork 87Nm pada 6,750rpm. Ciri-ciri premium seperti suspensi teleskopik terbalik, brek J.Juan dengan ABS, TCS boleh laras, quickshifter, serta tiga mod tunggangan iaitu Standard, Rain dan Off-road menjadikannya pilihan terbaik untuk penjelajah tegar.










TW Media berpeluang mencuba CFMOTO 800MT-X lebih awal di Portugal, dan walaupun cuaca hujan menyukarkan keadaan, pengalaman kami tetap mengujakan. Disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan, kami tidak dapat menguji jentera ini sepenuhnya di laluan off-road, namun uji kaji on-road dan sedikit laluan off-road basah tetap memberikan gambaran prestasi sebenar motosikal ini. Ia stabil, selesa dan memberi keyakinan ketika melalui selekoh dan jalan licin.
Jentera ini juga dilengkapi paparan TFT 7 inci, cruise control, TPMS, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta sistem keselamatan seperti Side Stand Safety Switch. Terdapat juga pelindung tangan, pelindung angin boleh laras, serta kotak sisi 35L dan kotak atas 45L yang ideal untuk pengembaraan jarak jauh.
Dengan kapasiti tangki 22.5L, berat 220kg dan tinggi tempat duduk 830mm, CFMOTO 800MT-X bukan sahaja tampil bergaya tetapi juga praktikal dan tahan lasak. Waranti tanpa had perbatuan selama dua tahun serta kemudahan pembelian alat ganti tulen atas talian menambah lagi nilai pemilikan motosikal ini.


Jika anda mencari motosikal adventure touring yang lasak, selesa dan kaya teknologi pada harga kompetitif, CFMOTO 800MT-X adalah jawapannya.