RCB Kukuhkan Sokongan, Hakim Danish Mengharumkan Nama Negara

Toshi

Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish, terus mencipta nama di pentas antarabangsa apabila kini mendahului carta keseluruhan kejohanan MotoGP Red Bull Rookies Cup 2025. Sebagai menghargai sokongan berterusan daripada penajanya, Danish telah membuat kunjungan hormat ke ibu pejabat RCB di ibu negara sejurus kepulangannya ke tanah air.

RCB merupakan penaja utama dan peribadi kepada Hakim Danish sejak awal penglibatannya dalam perlumbaan antarabangsa. Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran RCB, Marcus Leong menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian Danish yang konsisten memenangi setiap perlumbaan setakat ini.

“Danish bukan sahaja membawa jenama kami ke peringkat global, malah menjadi sumber inspirasi kepada pelumba muda di Malaysia. Beliau membuktikan bahawa dengan disiplin dan semangat juang tinggi, kejayaan bukan lagi mustahil,” katanya.

RCB turut menegaskan komitmen mereka dalam memberikan sokongan menyeluruh meliputi aspek teknikal, logistik serta promosi kepada pelumba muda itu, sebagai usaha berterusan melahirkan ikon permotoran negara.

Kehadiran Danish ke tanah air juga dilihat mampu menyuntik semangat kepada pelumba-pelumba muda yang bakal beraksi dalam perlumbaan FIM MiniGP dan RCB MiniMoto yang akan berlangsung pada 24 dan 25 Mei ini di Litar Horizon, Beranang.

RCB percaya bahawa dengan pendekatan sistematik, bimbingan berterusan serta penanaman nilai positif, lebih ramai pelumba berbakat mampu digilap hingga ke pentas MotoGP. Sokongan terhadap Danish adalah bukti komitmen mereka ke arah pembangunan komuniti permotoran yang progresif dan bertanggungjawab.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.2k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives