
Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 kini memasuki pusingan kedua hujung minggu ini di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak. Fokus kini terarah kepada pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, yang berazam mengekalkan prestasi cemerlang dan kedudukan teratas dalam kategori CP150.
Afif memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila muncul juara di pusingan pertama, menewaskan pesaing utama termasuk rakan sepasukannya sendiri, Md Akid Aziz. Musim lalu, Akid sering menghalang kemaraan Afif, tetapi kemenangan pembuka musim ini memberikan suntikan semangat baru buat pelumba berpengalaman itu.
Berbekalkan pengalaman luas dan pemahaman mendalam tentang jentera dan litar, Afif yakin mampu mengatur strategi terbaik di Tangkak. Tahun lalu, dia meraih 10 mata di pusingan kedua dan 20 mata di pusingan ketujuh, berbanding 25 mata yang dikutip Akid dalam kedua-dua pusingan.
Namun begitu, Afif mengakui Tangkak bukan laluan mudah.
“Litar Tangkak agak mencabar, terutama di laluan lurus kerana berat badan saya sedikit menjejaskan kelajuan. Tapi saya akan fokus pada ‘setup’ jentera dan pastikan persediaan rapi, terutamanya dari segi kecergasan,” jelasnya.
Afif juga menyedari saingan hebat bakal datang bukan sahaja daripada Akid, malah nama-nama seperti Kasma, Azory dan Syazras juga tidak boleh dipandang ringan.
“Buat masa ini, saya tak mahu terlalu fikir tentang kejuaraan. Apa yang penting ialah konsisten dapatkan posisi terbaik di setiap perlumbaan dan kumpul sebanyak mungkin mata,” katanya yakin.
Adakah Afif mampu mengekalkan rentak kemenangan dan menguasai Litar Tangkak? Nantikan aksi sengit hujung minggu ini!