MINGGU PERLUMBAAN MOTOGP 2025: GP PERANCIS

asyrafzuarimi

MINGGU PERLUMBAAN 6/2025 — Grand Prix de France

Aksi MotoGP kembali menemui peminat hujung minggu ini dengan pusingan keenam Kejuaraan Dunia MotoGP 2025 yang bakal berlangsung di Litar Bugatti, Le Mans, sebuah litar ikonik yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Perancis, tetapi juga menyimpan nilai sentimental dalam sejarah permotoran dunia. Litar ini telah menyaksikan pelbagai detik bersejarah dalam sukan dua roda dan setiap kali MotoGP tiba di sini, ia membawa satu aura yang cukup istimewa.

Persaingan musim ini semakin sengit dengan Alex Marquez #73 kini berada di kemuncak kejuaraan selepas meraih kemenangan sulung MotoGP di Jerez. Kemenangan tersebut bukan sahaja menamatkan penantiannya tetapi juga melonjakkan kedudukan beliau selepas tujuh kali menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Abangnya, Marc Marquez #93, hanya satu mata di belakang selepas mengalami insiden jatuh di Jerez, namun masih konsisten mengekalkan tempat kedua dalam carta keseluruhan. Francesco Bagnaia #63 pula terus memburu podium demi podium dan kini kekal sebagai pesaing utama dengan prestasi yang konsisten.

Pelumba seperti Franco Morbidelli #21 dan Fabio Di Giannantonio #49 juga wajar diberi perhatian selepas lima pusingan yang meyakinkan. Kedua-duanya kini menghuni kedudukan keempat dan kelima dalam carta kejuaraan dan dijangka mampu mencabar kelompok teratas sekiranya mengekalkan momentum.

Grand Prix de France turut menjanjikan sorotan istimewa buat dua pelumba tuan rumah, Johann Zarco #5 dan Fabio Quartararo #20. Zarco, yang kini merupakan pelumba terbaik Honda setakat ini dengan kutipan 43 mata, bakal tampil penuh semangat di hadapan ribuan penyokong Perancis. Bagi Quartararo pula, ini adalah pentas kebangkitan yang dinanti-nantikan. Selepas menamatkan kemarau podium selama 560 hari di Jerez serta memenangi posisi pole, juara dunia 2021 ini kini mula memperlihatkan sinar kebangkitan dan kembali diberi gelaran “Saturday Boy” oleh peminat.

Sementara itu, di pentas pembangunan, pelumba muda negara, Hakim Danish #13 bakal turun beraksi dalam pusingan kedua Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025. Hakim ketika ini sedang mendahului carta kejuaraan selepas dua perlumbaan cemerlang di Jerez yang menyaksikan beliau meraih dua podium berturut-turut. Kejayaan ini menjadi suntikan semangat bukan sahaja buat dirinya, malah buat seluruh peminat sukan permotoran tanah air yang mendambakan kelahiran bintang masa depan.

Le Mans sentiasa menjanjikan perlumbaan yang teknikal dan mencabar, dengan selekoh-selekoh yang memerlukan ketelitian dan ketajaman taktikal. Ditambah pula dengan sorakan lebih 100,000 penonton yang bakal membanjiri litar, Grand Prix de France dijangka menjadi antara pusingan paling meriah dan dramatik musim ini.

Jangan lepaskan detik-detik mendebarkan dari bumi Perancis, saksikan sendiri kehebatan pelumba terbaik dunia menguasai litar, memperjuangkan setiap inci untuk kemenangan dan kemegahan.

Teruskan bersama Two Wheels..!

📸 MotoGP

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives