
Fabio DiGiannantonio meluahkan rasa kecewa terhadap suasana dalam Pasukan VR46 apabila mendakwa dirinya seolah-olah “hanya bekerja” dan bukan sebahagian daripada sebuah keluarga. Pelumba Itali itu yang kini memasuki musim kedua bersama pasukan berkenaan berkata, hubungan akrab antara pelumba dan pasukan adalah penting untuk mewujudkan komunikasi berkesan ketika bekerja.
Apa yang mengecewakan, menurut DiGia, ialah layanan yang diterima oleh rakan sepasukannya, Franco Morbidelli, yang baharu menyertai VR46 musim ini, tetapi sudah dilihat mesra dan lebih ‘terhubung’ dengan kru pasukan.
“Saya rasa seperti saya hanya datang, buat kerja dan balik. Tidak ada rasa kekeluargaan. Sedangkan Franco baru masuk, tapi nampak lebih ‘masuk’ dengan semua orang,” kata DiGia dalam satu temu bual.
Franco Morbidelli pula bukan calang-calang nama dalam sejarah VR46. Beliau ialah anak didik Valentino Rossi sejak di peringkat awal karier dan merupakan murid pertama dari akademi VR46 yang berjaya melangkah ke kelas utama MotoGP. Hubungan rapat antara Franco dan keluarga besar VR46 mungkin menjadi faktor layanan yang lebih mesra diterima olehnya.
Bagi DiGia, kekurangan ikatan peribadi ini mungkin antara sebab prestasinya tidak berkembang seperti diharapkan. Dalam era perlumbaan moden, kejayaan tidak hanya bergantung kepada bakat dan jentera, tetapi juga hubungan rapat dan sokongan emosi dari seluruh pasukan.