
Litar Jerez menjadi saksi kepada pelbagai pembaharuan teknikal yang dibawa oleh pasukan utama MotoGP dalam ujian rasmi semalam. Ujian ini menjadi medan penting untuk menilai keberkesanan kemas kini menjelang pusingan-pusingan mendatang.
Pasukan Ducati Lenovo tampil agresif dengan menguji pakej aerodinamik baharu iaitu fairing lebih tirus bagi meningkatkan prestasi di selekoh. Mereka turut menumpukan kepada pembangunan sistem ‘ride height’ generasi terkini yang direka bagi mempercepatkan jentera keluar dari selekoh. Marc Marquez menamatkan sesi ujian dengan catatan masa 1:35.876, hampir menyamai masa pole Quartararo (1:35.610).
Pasukan Red Bull KTM Factory dan Tech3 pula membawa casis baharu yang lebih fleksibel, memberi cengkaman belakang lebih baik, satu aspek penting dalam kawalan jentera moden. Ujian turut melibatkan sistem ‘holeshot’ baharu yang lebih ringan dan responsif. Hasilnya, Brad Binder dan Pedro Acosta konsisten mencatat masa dalam kelompok enam terbaik.
Pasukan Monster Energy Yamaha masih dalam fasa mencari keseimbangan. Mereka menguji enjin dan swingarm karbon baharu serta meneliti semula kawalan elektronik seperti engine braking dan traction control. Namun, maklum balas pro dan contra diperolehi dari Fabio Quartararo dan Alex Rins, menunjukkan Yamaha masih belum menemui titik manis yang diidamkan.
Sementara itu, Pasukan Aprilia Racing dan Trackhouse lebih fokus kepada mengoptimumkan pakej sedia ada. Tumpuan diberikan kepada keserasian dengan tayar Michelin 2025. Marco Bezzecchi menunjukkan potensi dengan catatan masa yang memberangsangkan, menandakan kestabilan dan konsistensi jentera Aprilia.
Pasukan Honda HRC menguji enjin baharu dengan kuasa puncak lebih baik dan penyampaian kuasa lebih linear. Joan Mir dan Luca Marini turut menilai swingarm baharu. Walaupun peningkatannya kecil, ia positif untuk pembangunan RC213V. Takaaki Nakagami membantu mengumpul data sebagai pelumba ujian tambahan.
Secara keseluruhan, ujian ini membuktikan bahawa setiap pasukan terus berlumba dalam aspek pembangunan teknikal. Dengan peningkatan dari sudut aerodinamik, casis, dan elektronik, saingan dijangka bertambah sengit menjelang perlumbaan di Le Mans dan Mugello.
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 Yamaha