KEHANGATAN KEMBALI MEMBARA – PENYERTAAN MENARIK DALAM ASB1000!

MC


Asia Superbike 1000cc sekali lagi akan menggegarkan Litar Antarabangsa Chang hujung minggu ini sempena pembukaan musim Kejohanan Motosikal Asia Idemitsu FIM (ARRC) 2025. Misi kemenangan hanya berpaksi pada satu matlamat – menjadi juara. Dengan senarai pelumba yang penuh semangat dan daya saing tinggi, musim kali ini dijangka cukup panas dan mendebarkan!

Musim lalu menyaksikan aksi pantas dan mendebarkan daripada Yuki Kunii (SDG Team HARC-PRO Honda Ph.) yang meninggalkan jejak ke arah kemasyhuran di arena Asia. Namun, ketiadaan beliau musim ini membuka ruang terbuka buat bintang-bintang lain seperti Andi Farid dari ASTRA HONDA RACING TEAM dan Hafizh Syahrin dari JDT RACING TEAM – dua nama besar yang telah membuktikan kemampuan setara sepanjang musim lalu. Tambah menarik, kehadiran Nakarin Atiratphuvapat yang kini masuk ke liga utama turut membawa cabaran baru dan ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Andi, naib juara Musim 2024, “Secara peribadi, saya rasa semua pelumba di sini ada keupayaan masing-masing. Tapi yang paling penting adalah matlamat dan perkembangan peribadi. Saya fokus untuk tingkatkan kemahiran teknikal dan strategi perlumbaan. Pengalaman lepas sangat membantu untuk menilai kemampuan sendiri. Saya gembira kembali bersama ASTRA HONDA dan bersemangat untuk capai lebih banyak pencapaian bersama mereka. Kami sudah pun memulakan latihan dan hanya menunggu masa untuk beraksi.”

Menambah debaran, juara kategori 600cc Kejohanan Jepun 2024, Keito Abe kini menggantikan tempat Kunii untuk terus menggalas harapan pasukan. Namun, Keito perlu segera menyesuaikan diri dengan tekanan baharu apabila perlu bersaing dengan nama-nama besar Honda lain seperti Zaqhwan Zaidi dan rakan sepasukan baharunya, Azroy Hakeem Anuar dari IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA yang akan ‘naik pangkat’ dari SS600. Gabungan tahap prestasi, kapasiti jentera dan pengalaman berlainan menjadikan perlumbaan ini benar-benar mencabar. Mampukah Keito bangkit dan mencipta impak?

Mengulas tentang penyertaannya, Keito berkata, “Saya tak pernah menunggang Honda CBR1000RR-R sebelum ini, jadi ini satu pengalaman yang benar-benar baru. Sudah tentu matlamat saya adalah untuk cepat menyesuaikan diri dan kawal jentera berkuasa tinggi ini. Saya yakin, dengan pengalaman dari kejuaraan Jepun, saya mampu berikan saingan hebat. Bersama pasukan baru ini, saya rasa sangat positif – mereka banyak membantu dan kami ada data yang cukup untuk dijadikan rujukan. Saya akan berikan segalanya, bukan saja dari segi profesional, tapi juga untuk perkembangan diri.”

Azroy pula berkata, “Musim ini pasti mencabar tapi tiada alasan untuk mengalah. Saya kena cepat belajar. Matlamat saya adalah untuk hasilkan keputusan terbaik buat pasukan. Cabaran utama adalah gaya tunggangan dan teknik – tapi saya bertuah kerana ada rakan sepasukan yang sangat berpengalaman. Itu satu kelebihan. Pada akhirnya, ia tentang kemampuan saya untuk menyesuaikan diri dan keinginan untuk berjaya. Walaupun nampak seperti satu impian besar, saya tetap ingin menjejak kaki ke podium, atau sekurang-kurangnya, berada dalam kelompok lima teratas secara konsisten.”

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.9k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives