Toprak Razgatlioglu Sapu Bersih di Donington, Fokus & Strategi Jadi Kunci Kemenangan

Toshi

Toprak Razgatlioglu terus membuktikan kehebatannya sebagai pelumba serba lengkap apabila mendominasi sepenuhnya hujung minggu perlumbaan WorldSBK di Donington Park, United Kingdom. Pelumba Turkiye itu menyapu bersih tiga kemenangan iaitu Race 1, Superpole Race dan Race 2, sekaligus merampas semula kedudukan pendahulu dalam carta kejuaraan dengan 345 mata, hanya empat mata di hadapan pencabar terdekat, Nicolo Bulega.

Menariknya, aksi Toprak kali ini jauh lebih tenang dan penuh strategik. Sejak diumumkan akan menyertai MotoGP musim hadapan bersama Pramac Yamaha, gaya tunggangannya kelihatan lebih fokus, matang dan tidak terpengaruh dengan tekanan luaran, termasuk saingan sengit dalam carta kejuaraan.

“Saya tak mahu bercakap apa-apa lagi. Saya tak peduli pun tentang peraturan atau motor saya mungkin lebih perlahan, tapi saya tetap tersenyum kerana saya hanya fikirkan perlumbaan dan selesaikan tugas saya,” ujar Toprak dengan tenang.

Kontrak dua tahun yang telah dimeterai untuk bersaing di MotoGP jelas memberikan kestabilan emosi dan mental buat pelumba ini. Ia membolehkannya untuk berlumba dengan lebih relaks, tetapi pada masa sama tidak kehilangan sentuhan kompetitif.

“Saya mahu berikan sesuatu yang bermakna kepada BMW sebelum saya pergi,” tambahnya, menggambarkan niat untuk mengakhiri musim ini dengan gelaran juara, sebagai hadiah perpisahan buat pasukan yang mempercayainya.

Toprak bukan sekadar memburu kemenangan, tetapi sedang menulis bab terakhir yang penuh makna dalam kisah WSBK sebelum membuka lembaran baru di MotoGP.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives